Penganjuran Eksesais Pacific Partnership 2023 perkukuh kerjasama ketenteraan negara

Penganjuran Eksesais Pacific Partnership 2023 perkukuh kerjasama ketenteraan negara

KUANTAN – Program Eksesais Pacific Partnership 2023 (Eks PP23) yang berlangsung hampir dua minggu bermula 5 September lalu di sekitar bandar raya Kuantan berjaya mencapai objektif penganjurannya.

Menurut wakil Kedutaan Amerika Syarikat ke Malaysia, Manu Bhalla, program perkongsian kepakaran seperti ini memberi impak dalam memperkukuh kerjasama ketenteraan di antara negara-negara yang terlibat.

“Perkongsian Pasifik ini ialah contoh hebat perkongsian komprehensif yang membina hubungan antara manusia dengan manusia. Kami percaya perkongsian seperti ini adalah yang terbaik,” katanya.

Manu Bhalla

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penutup Eksesais Pacific Partnership 2023 (Eks PP23) yang disempurnakan oleh Komander misi, Kapten Claudine Caluori di Kapal USS Pearl Harbor, New Deep Water Terminal (NDWT) yang berlabuh di Pelabuhan Kuantan, di sini, hari ini.

Antara pengisian yang terbabit dalam eksesais itu adalah program kerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berkonsepkan usaha bantuan banjir yang diadakan di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS).

Selain itu, terdapat empat aktiviti utama telah dilaksanakan sepanjang Eks PP23, antaranya Medical Engagement yang melibatkan agensi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Islamic International University Malaysia (IIUM), Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) dan pasukan perubatan dari Tentera Laut Amerika Syarikat serta negara rakan kongsi yang lain.

Eksesais tahunan kali ke sembilan itu berlangsung di bawah inisiatif United State Indo-Pacific Command (USINDOPACOM) dan dilaksanakan oleh United State Pacific Fleet (USPACFLT) serta melibatkan hampir 1,500 peserta dari pelbagai negara seperti Amerika Syarikat, Britain, Australia, New Zealand, Kanada, Chile, Japan dan Korea Selatan. – MalaysiaGazette