KUALA LUMPUR – Pengarah dan pengkritik filem serta budaya, Mansor Puteh meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya selepas kenderaan yang dipandunya terbabas.
Berita sedih kematian sutradara veteran filem terkenal itu dikongsi pengarah dan penulis skrip Al Jafree Md Yusop dalam hantaran di akaun Facebooknya.
Dalam hantaran tersebut, beliau menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan kepada dunia seni.
“Innalillahi wainnailaihi rajioun, saudara Mansor Puteh telah meninggal dunia pagi tadi akibat kemalangan. Satu lagi kehilangan buat warga seni. Al Fatihah,” katanya.
Anak saudara arwah, Adeed Adillah Abdullah turut berkongsi berita sedih itu di akaun Facebooknya.
Menurutnya, jenazah Mansor akan di bawa ke Melaka untuk pengebumian.
“Salam semua, bagi yang mengenali uncle saya Mansor B Puteh, beliau telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi.
“Jenazah sekarang berada di HUKM bagi tujuan post mortem dan akan diuruskan di sana.
“Jenazah akan dibawa ke Melaka untuk dikebumikan lewat petang nanti setelah selesai semua. Mohon doakan uncle saya Mansor Bin Puteh,” tulis Adeed Adillah.
Sebelum itu tular foto keadaan Saga Aeroback yang dipandu oleh Allahyarham terbabas di Alam Damai, Cheras.
Mendapat pendidikan awal dalam bidang komunikasi massa dari Institut Teknologi Mara (ITM), Mansor pernah menjadi wartawan sebelum melanjutkan pengajian dalam jurusan Master of Fine Arts in Film Directing, Universiti Columbia pada 1978.
Allahyarham pernah mengarahkan filem berjudul Seman pada 1988, selain menghasilkan dokumentari 48 minit mengenai Tunku Abdul Rahman bertajuk Residency Years atau Bertahun di Residensi.-MalaysiaGazette




