am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Tindakan merakam dan menularkan kandungan tanpa kebenaran dalam kawasan masjid adalah tidak wajar dan bertentangan dengan adab, etika serta peraturan yang sudah dikuatkuasakan.
Ia termasuk merakam individu lain di dalam masjid tanpa kebenaran.
Jawatankuasa Pengurusan Masjid Sultan Abu Bakar dalam satu kenyataan berkata, sebarang penggambaran dan rakaman video untuk tujuan siaran awam adalah tertakluk sepenuhnya kepada Garis Panduan Aktiviti Penggambaran di Masjid dan Surau Negeri Johor Tahun 2020 yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
“Pada dasarnya, pihak Jawatankuasa Pengurusan Masjid Sultan Abu Bakar tidak menolak kehadiran mana-mana pihak serta tidak menghalang aktiviti penggambaran di kawasan masjid.
“Namun, sebarang penggambaran dan rakaman video untuk tujuan siaran awam adalah tertakluk sepenuhnya kepada garis panduan yang ditetapkan MAINJ.
“Jadi, mana-mana individu atau pihak yang berhasrat untuk menjalankan aktiviti penggambaran hendaklah mendapatkan kebenaran terlebih dahulu melalui saluran yang ditetapkan,” katanya.
Menurutnya, pematuhan terhadap peraturan, adab serta sensitiviti institusi masjid adalah tanggungjawab bersama.
Katanya, prinsip menghormati undang-undang dan aturan setempat wajar dijadikan pedoman, demi memelihara keharmonian, ketertiban serta kesucian rumah ibadat.
Terdahulu, tular di media sosial Instagram satu video dimuat naik pemilik akaun ‘Myer Travels’ pada Sabtu lalu yang memaparkan pengalamannya berkunjung ke Masjid Sultan Abu Bakar di sini.
Menerusi video seminit 14 saat itu, pemilik akaun memaparkan keadaan dalam dan luar masjid berkenaan dan turut memuji keindahan pembinaan masjid itu.
Bagaimanapun, di akhir video, pemilik akaun ditegur seorang individu yang melarangnya membuat rakaman video kerana mendakwa ia adalah peraturan masjid berkenaan untuk tidak membuat sebarang rakaman tanpa kebenaran.
© New Straits Times Press (M) Bhd




