
SEOUL: Penghantaran vaksin koronavirus ke Korea Utara melalui program perkongsian Covax global yang dijangka pada akhir Mei ditangguh lagi berikutan rundingan yang berlarutan, kata Kementerian Penyatuan Korea Selatan hari ini.
Covax, yang memperoleh vaksin untuk negara-negara miskin, berkata ia akan mengedarkan hampir 2 juta dos vaksin AstraZeneca Covid-19 kepada Korea Utara.
Korea Utara dijangka menerima penghantaran pertama pada akhir Mei namun rundingan masih berlangsung, kata seorang pegawai di kementerian yang mengurus hal ehwal Korea Utara.
“Negara-negara yang mahukan bantuan Covax diminta untuk mengadakan berbagai rundingan dan menyerahkan beberapa dokumen termasuk rancangan inokulasi,” kata pejabat itu.
“Tetapi dalam kes Korea Utara, rundingan itu telah lama berlangsung dan nampaknya penghantaran hanya akan dilakukan lebih lewat dari rancangan awal.”
Korea Utara setakat ini masih belum memberikan komen mengenai sebarang rundingan membabitkan vaksin.
Ia belum secara rasmi mengesahkan adanya jangkitan Covid-19, walaupun pegawai Seoul berkata wabak di sana tidak dapat dielakkan kerana Korea Utara melakukan pertukaran perdagangan dan pekerja dengan China sebelum menutup sempadannya awal tahun lalu.
Dalam satu kenyataan kepada perhimpunan tahunan WHO yang sedang berlangsung minggu lalu, Korea Utara menuduh negara-negara tertentu mendominasi bekalan vaksin dan menyebabkan bekalan terhad akibat sifat ego.
“Beberapa negara memperoleh dan menyimpan vaksin lebih dari yang mereka perlukan … ketika negara lain langsung tidak memperolehnya,” katanya.
