nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: “Sehingga kini saya masih tidak mampu menerima perkhabaran bahawa Ainul sudah meninggalkan kami buat selama-lamanya.”
Demikian luahan Rogayah Mohd Nor, 69, iaitu ibu kepada Dr Ainul Baraah Kamaruddin yang maut dalam nahas helikopter terhempas di Sarawak, petang tadi.
Katanya, sepanjang anaknya pulang bercuti di kampung selama seminggu, pada minggu lalu, tiada sebarang perubahan pelik langsung ditunjukkan.
“Sepanjang dia pulang bercuti, kami banyak keluar berjalan dan membeli-belah bersama-sama. Tiada langsung perubahan pelik yang ditunjukkan.
“Itu yang menyebabkan sehingga kini saya masih terkejut dan tidak mampu menerima kehilangan mengejut ini.
“Namun saya berdoa semoga anak saya ditempatkan di syurga kerana dia seorang anak yang baik,” katanya.
Jelasnya, mereka sekeluarga juga belum berbincang soal lokasi pengebumian memandangkan sebahagian keluarga baru berlepas ke Kuala Lumpur.
“Saya dan suami akan ke Kuala Lumpur malam ini dengan menaiki kereta sebelum ke Sarawak, dijangka esok,” katanya.
Terdahulu, juruterbang dan empat penumpang helikopter BO-105 yang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram di Sarawak, petang tadi, disahkan meninggal dunia.
Residen Miri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri, Galong Luang, mengesahkan kesemua lima individu yang berada di dalam helikopter berkenaan maut dalam kejadian yang berlaku di hujung landasan itu.
Berita berkaitan:
Helikopter terhempas: ‘Kami sudah janji dengan pesakit’, kata penumpang sebelum berlepas
Helikopter terhempas: FDS talian hayat kesihatan penduduk Pedalaman Sarawak
Juruterbang, empat penumpang helikopter terhempas disahkan maut
‘Arwah rancang sambung belajar kerana mahu jadi doktor pakar’ – Bapa Dr Ainul
Helikopter FDS terhempas bawa empat petugas KKM – Dzulkefly
Helikopter terhempas: Keluarga sahkan Dr Ainul meninggal dunia
Helikopter terhempas: PDRM gerak operasi SAR, 10 jam melalui darat
Helikopter ‘flying doctor’ terhempas di Sarawak, status 5 dalam pesawat belum diketahui
© New Straits Times Press (M) Bhd

