rizar@mediaprima.com.my
Iskandar Puteri: Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) mudah ke suku akhir Piala FA dengan agregat 14-1 selepas membelasah UM Damansara United, 10-0 dalam aksi kedua timbal balik pusingan 16 di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.
JDT yang dibimbing Xisco Munoz akan berdepan sama ada Penang FC atau Melaka FC yang akan membuat perhitungan di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, petang esok.
Berbekalkan kemenangan 4-1 pada aksi pertama di Stadium Sultan Ibrahim, 1 September lalu, skuad Harimau Selatan tidak menunggu lama untuk merobek gawang UM Damansara selepas bola sepakan lintang Manuel Hidalgo pada minit kelima menyaksikan Eddy Israfilov yang mudah menanduk masuk menewaskan penjaga gol pelawat, Azfar Arif Mohd Sukri.
Tuan rumah menambah jaringan pada minit ke-22 dan sekali lagi Hidalgo menjadi pencetus gol hasil umpanan tepat kepada Stoichkov yang mendada bola sebelum memusingkan badan dan merembat kencang menewaskan Azraf Arif untuk meletak kedudukan 2-0.
Harimau Selatan terus mengganas apabila merobek gawang pasukan pelawat pada minit ke-32 dan ianya bermula daipada bola lorongan Nacho Mendez membolehkan Wilkin melepasi kawalan benteng lawan sebelum merembat menewaskan Azraf Arif.
Sebaik babak kedua bermula, JDT terus melebarkan kedudukan berpunca daripada bola sepakan lintang Hidalgo pada minit ke-48 membolehkan pemain gantian Daniesh Amirrudin menanduk tepat kepada Stoichkov yang tidak membuang masa untuk melepaskan rembatan sekali gus dan mencetak gol keduanya.
Malang terus menimpa UM Damansara apabila dibolos lagi pada minit ke-57 selepas bola umpanan Jairo da Silva menyaksikan pemain Johor Darul Ta’zim III (JDT III) Daniesh bijak mengambil kesempatan dengan bertindak melencongkan tepat ke penjuru kanan menewaskan Azfar Arif.
JDT terus menghukum kealpaan benteng pelawat pada minit ke-75 apabila umpanan Mendez menyaksikan Wilkin bingkas melencongkan bola tepat ke penjuru kiri gawang untuk selesa dengan jaringan 6-0.
Pemain gantian Shahab Zahedi yang dimasukkan tidak menunggu lama untuk mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-77 selepas rembatan dari jarak 25 meter membuat Azfar Arif tergamam untuk kedudukan 7-0 dan disusuli jaringan Israfilov pada minit ke-80 yang mencetak gol kedua peribadi.
Daniesh membalas kepercayaan Munoz dengan mencetak gol keduanya pada minit ke-87 selepas menanduk bola sepakan lintang Hidalgo manakala gol kedua Zahedi menerusi tandukan pada minit akhir permainan melengkapkan kemenangan bergaya 10-0 sekali gus layak ke suku akhir dengan agregat 14-1.
© New Straits Times Press (M) Bhd

