
Pengharaman rokok elektronik atau vape merupakan langkah strategik Gambar hiasan. Gambar kecil: Hafizi Harun
SHAH ALAM – Pengharaman rokok elektronik atau vape merupakan langkah strategik untuk mengekang saluran baharu yang semakin digunakan bagi penyalahgunaan bahan terlarang dalam kalangan masyarakat, khususnya olongan muda.
Presiden Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), Hafizi Harun berkata, langkah itu perlu disokong dengan penguatkuasaan berkesan, pendidikan awam berterusan serta usaha pencegahan melibatkan sekolah, ibu bapa dan komuniti.
“Kesihatan dan kesejahteraan generasi muda mesti diberi keutamaan mengatasi kepentingan komersial mana-mana industri.
“Kita mempunyai tanggungjawab bersama untuk memastikan anak-anak dan remaja tidak terdedah kepada produk yang boleh membawa kepada ketagihan, kemudaratan kesihatan serta penyalahgunaan dadah.
“Pengasih menggesa semua pihak untuk menyokong langkah pengharaman peranti vape demi melindungi generasi akan datang, mewujudkan masyarakat lebih sihat, selamat dan bebas daripada ketagihan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengulangi pendirian menyokong pengharaman vape secara menyeluruh di negara ini susulan kemunculan dadah sintetik baharu dikenali sebagai ‘Piu Piu’ yang dikesan dicampurkan dalam cecair rokok elektronik.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dadah yang mengandungi campuran Fentanyl dan bahan kimia psikoaktif itu mampu memberikan kesan khayal melampau sehingga menjadikan penggunanya berada dalam keadaan seakan-akan ‘zombie’.
Beliau berkata pihaknya melihat penggunaan vape kini sudah tersasar dan disalahgunakan secara meluas oleh sindiket pengedaran dadah sebagai modus operandi bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Dalam pada itu Hafizi menegaskan, pengharaman vape bukan hanya bertujuan mengawal penggunaan nikotin, sebaliknya menjadi langkah penting untuk mengekang saluran baharu yang digunakan untuk penyalahgunaan bahan terlarang.
“Sifat peranti vape yang sukar dikesan dan mudah disembunyikan menjadikannya alat semakin popular untuk tujuan penyalahgunaan dadah, termasuk dalam kalangan pelajar.
“Kita tidak boleh menunggu sehingga lebih ramai remaja mengalami ketagihan nikotin atau terjebak dalam penyalahgunaan dadah sebelum mengambil tindakan lebih tegas,” ujarnya.




