am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengorbanan besar seorang ibu apabila sanggup melepaskan kerjaya demi menjaga anak orang kurang upaya (OKU) terbalas apabila anak perempuannya itu kini berjaya mencipta nama dalam sukan memanah.
Faridah Kassim, 58, berkata dia menguruskan dua anak OKU termasuk Nor Shahidatina Razab, 27, yang lumpuh akibat terjatuh dari pokok pada 2013 sehingga mengambil keputusan berhenti kerja.
Menurutnya, ini kerana dia mahu memastikan Nor Shahidatina mendapat penjagaan rapi.
“Saya jaga dia seperti bayi baru lahir. Sepanjang dua bulan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Terengganu, saya sentiasa berada di sisinya untuk memastikan keperluannya terurus.
“Selepas pulang ke rumah, saya bantu dia melalui fisioterapi sehingga mampu menggerakkan sebahagian anggota badan,” katanya kepada Harian Metro.
Faridah berkata demikian ketika ditemui selepas menerima Anugerah Ibu Bapa Mithali OKU 2024 sempena Sambutan Hari OKU Peringkat Kebangsaan 2024, di sini, semalam.
Anugerah disampaikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.
Antara penerima lain ialah Zakaria Yahya (Anugerah Khas OKU Akademik), Muhamad Asyraf Mahad (Anugerah Khas OKU Usahawan), Wan Muhamad Hafizunif Wan Roslan (Anugerah Abilimpik Antarabangsa) dan Cheah Liek Hou (Anugerah Khas Paralimpik).
Faridah berkata, cabaran mental dan emosi amat besar apabila Nor Shahidatina pada awalnya sukar menerima kenyataan hidup dengan berkerusi roda.
“Dia pernah berkurung di dalam rumah hampir tiga tahun kerana berasa malu dengan keadaannya dan enggan berjumpa dengan sesiapa. Malah, selama lima tahun juga, dia sering menangis kerana sukar menerima hakikat keadaannya. “Sebagai seorang ibu, hati saya luluh melihat dia dalam keadaan begitu dan sentiasa memberikan dorongan untuk bangkit dan cuba menjalani kehidupan seperti biasa meskipun perlu berkerusi roda.
“Sehinggalah suatu hari, dia menyatakan hasrat mahu menyertai aktiviti memanah. Pada mulanya, saya berasa ragu, namun melihat semangat dan keazaman, akhirnya saya izinkan. Alhamdulillah, Allah memudahkan setiap langkah perjalanannya,” katanya.
Menurut Faridah, Nor Shahidatina mula menyertai sukan memanah empat bulan lalu dan berjaya merangkul beberapa kejayaan termasuk pingat gangsa pada Para Sukma XXI Sarawak 2024 acara Memanah Beregu.
Kejayaan lain ialah Johan dalam Sirkit 2 Kebangsaan Para Memanah MSN-Allianz-NAAM 2024, pingat gangsa (Kejohanan Para Memanah Kebangsaan 2024 Siri 1) dan Naib Johan (Round Robin Recurve Open Category 2).
Selain memanah, Nor Shahidatina turut menunjukkan minat dalam membuat kuih untuk dijual bagi membantu menampung perbelanjaannya.
“Melihat dia kembali ceria dan yakin menjalani kehidupan adalah kebahagiaan buat saya sebagai ibu. Saya percaya setiap ujian Allah berikan ada hikmahnya,” katanya.
Sementara itu, suami Faridah, Razab Salleh, 62, berkata dia menyokong penuh usaha isterinya menjaga dan mendidik anak-anak.
Pasangan itu dikurniakan 10 anak, termasuk Mohd Nuzulan, 35, OKU penglihatan yang turut berdikari meskipun mempunyai kekangan fizikal.
“Sebagai ibu bapa, kami hanya mahu melihat anak-anak bahagia dan berdikari. Walaupun rezeki tidak menentu dan hanya bergantung kepada upah membuat kuih-muih yang dihantar ke kedai dan menjadi tukang masak, kami sentiasa berusaha memastikan keperluan mereka (anak-anak) mencukupi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




