Pengundi Melaka jangan lupa apa PH buat pada rakyat – Utusan Digital

Pengundi Melaka jangan lupa apa PH buat pada rakyat – Utusan Digital

PUTRAJAYA: Pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diminta tidak lupa apa Pakatan Harapan (PH) buat kepada rakyat ketika gabungan parti politik itu mentadbir negara selepas Barisan Nasional (BN) jatuh dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, beliau juga tidak lupa bermacam-macam tawaran PH untuk beliau bertindak lompat parti untuk menyokong mereka ketika itu.

Menurutnya, disebabkan menolak tawaran itu, maka beliau perlu menerima nasib ‘naik turun’ mahkamah sebagaimana pemimpin UMNO atau BN lain yang berdepan tindakan pendakwaan kerana tidak sokong mereka.

“Yang lompat ke sana terus nama mereka digugurkan daripada pendakwaan sebagaimana calon mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara. Saya masih tak lupa. Memang saya masih ingat macam-macam tawaran mereka untuk saya sendiri.

“Bila ditolak, jadilah saya turun naik mahkamah. Memang saya tak akan lupa, maka pengundi PRN Melaka pun janganlah lupa. Jangan biarkan mereka yang menipu dan mencetuskan polemik politik negara dibiar berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata, undi rakyat Melaka untuk BN pada Sabtu ini sangat penting dan kesannya juga sangat besar untuk parti itu mentadbir semula negara dengan baik untuk rakyat dan masa depan negeri itu dan negara.

Katanya, walaupun ramai sudah muak, jelek malah menyampah dengan polemik politik, tetapi ia boleh ditamatkan dengan mengundi BN.

“Tak kan dah lupa apa janji-janji PH yang tak ditunaikan waktu dah jadi kerajaan. Tak kan tak tahu bagaimana ‘cekap’ mereka mengadu domba bangsa kita dan memecah perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia?” Soalnya.

Beliau menjelaskan, cukuplah apa yang rakyat lalui selepas PRU-14 dan PH runtuh kerana tindakan politik mereka sendiri yang ternyata bukan salah UMNO dan BN sendiri, tetapi tindakan Perdana Menteri ke-7 meletak jawatan.

“Kemudian Perikatan Nasional (PN) diwujudkan demi rakyat dan negara iaitu agar tak berlaku pilihan raya. Waktu itu UMNO dan BN sokong Perikatan Nasional (PN) demi rakyat juga, sebab nak elakkan pilihan raya apatah lagi Covid-19 baru menular yang juga disebabkan kegagalan PH buat kawalan dari awal.

“Kemudian kenapa UMNO dan BN tarik sokongan dari PN, kerana jelas Perdana Menteri Ke-8 gagal mentadbir malah nak ‘bunuh’ pula UMNO yang memberikan sokongan pada mereka,” katanya.

Scroll to Top