am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Pengurus syarikat menanggung kerugian lebih RM650,000 selepas mendakwa menjadi mangsa sindiket pelaburan saham dalam talian tidak wujud.
Mangsa lelaki berusia 45 tahun pada mulanya melihat iklan atas nama syarikat berkaitan pelaburan saham yang menawarkan pulangan tinggi dalam tempoh singkat.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, mangsa tertarik dengan tawaran itu lalu menekan satu pautan yang dimasukkan dalam kumpulan WhatsApp.
Menurutnya, mangsa kemudian berhubung dengan lima suspek sebelum diterangkan mengenai pelaburan itu.
“Mangsa diminta memuat turun dan mendaftar akaun pelaburan melalui aplikasi bagi memantau hasil pelaburan bakal diperolehi.
“Oleh kerana tertarik dengan pulangan lumayan, mangsa melakukan 25 transaksi ke dalam tiga akaun bank dengan keseluruhan RM651,800 sejak 12 Februari hingga 27 Mac lalu.
“Bagaimanapun, mangsa diarah membuat pembayaran lagi bagi menuntut jumlah keuntungan, namun mula berasa tertipu dengan pemintaan suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, dalam tempoh berkenaan pengadu mendakwa dia tidak menerima sebarang keuntungan seperti mana dijanjikan.
“Daripada maklumat mangsa, wang terbabit adalah simpanannya sejak beberapa tahun lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
