Minta idea selamatkan mercu tanda ‘hodoh’

SEOUL: Pihak pentadbiran sebuah ban­dar di Korea Selatan meminta idea daripada orang ramai bagi menyelamatkan mercu tanda ‘hodoh’ bernilai 34.4 bilion won (RM98.7 juta) yang berupa beberapa batang pokok di atas platform setinggi 40 meter.

Pihak berkuasa bandar Changwon, Wilayah Gyeongsang Selatan memaklumkan pada Ahad bahawa mereka mengadakan pertandingan peringkat kebangsaan bagi mencari jalan menambah baik reka bentuk itu.

Idea orang ramai juga diperlukan bagi mencari jalan kebolehgunaan struktur menara pemerhati berketinggian 40 meter yang dinamakan Big Tree di Taman Daesang.

Mercu tanda itu pada asalnya dibina untuk menjadi simbol baharu bandar raya itu.

Bagaimanapun, ia menerima kritikan sebaik sahaja dilancarkan tahun lalu kerana rupa fizikal binaan asalnya berbeza jauh berbanding lukisan reka bentuk awal.

Semasa pembukaan percubaan selama dua minggu pada Ogos tahun lalu, sebanyak 85 peratus daripada 1,868 responden memberikan penilaian negatif terhadap penampilannya.

Sebahagian  penduduk mendesak agar struktur tersebut dirobohkan.

Tentangan meluas itu memaksa pihak pengurusan bandar raya menangguhkan pembukaan rasminya.

Orang ramai boleh memberi idea sehingga 2 September ini bertujuan mengumpul cadangan praktikal bagi memperbaik reka bentuk, tahap ke­selamatan, kemudahan dan potensi penggunaan Big Tree.

 Idea terbaik dijangka diumumkan pada September dan bakal dimasukkan ke dalam pelan reka bentuk semulanya.

Sebelum ini, pihak berkuasa Changwon memohon polis pada Jun lalu untuk menjalankan siasatan terhadap pemaju swasta projek berkenaan atas dugaan menaikkan kos pembinaan secara melampau.

Namun, kini, pihak bandar raya kembali meminta bantuan orang ramai bagi menyelesaikan isu reka bentuk berkenaan. – AGENSI

Scroll to Top