Pelajar ajak ibu buat aksi tak senonoh dihantar ke Sekolah Henry Gurney

am@hmetro.com.my

Batu Pahat: Mahkamah Majistret di sini, hari ini memerintahkan seorang pelajar yang mengaku bersalah melakukan perbuatan tidak senonoh serta kelucahan melampau terhadap ibu kandungnya dihantar ke Sekolah Henry Gurney, Melaka selama tiga tahun.

Perintah itu berkuat kuasa hari ini dikeluarkan oleh Majistret Mustaqim Sukarno selepas mengambil pengakuan dibuat tertuduh berusia 17 tahun serta perbentangan laporan akhlak oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mahkamah turut mengenakan bon berkelakuan baik tanpa cagaran selama tiga tahun beserta syarat, ibu bapa perlu berhubung dengan pihak sekolah bagi sesi kaunseling atau status disiplin tertuduh.

Selain itu, ibu bapa dikehendaki melawat tertuduh secara tetap di sekolah terbabit atau sebulan sekali.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengaibkan kehormatan dengan menyuruh ibu kandungnya berusia 43 tahun ‘membuat sesuatu’ terhadapnya di sebuah rumah dalam daerah ini, 5 petang, 1 Jun lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa membuat kelucahan melampau terhadap ibunya dengan kesemua perbuatan ini berlaku pada tarikh, waktu dan lokasi sama.

Dia dakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga dua tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan manakala tertuduh diwakili peguam, Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top