TAIPING: Ow Yong Jin Kuang dan Vivien Ng muncul juara kategori utama 21 kilometer (km) larian Taiping Half Marathon 2025 yang berlangsung penuh meriah di Dataran Warisan, semalam.
Kejohanan bertemakan ‘A Historic Run in the Heart of Taiping’ itu berjaya menarik ribuan pelari dari dalam dan luar negara untuk merentasi keindahan landskap semula jadi dan sejarah bandar warisan ini.
Jin Kuang, 38, yang berasal dari Perak, menamatkan larian dengan catatan 1 jam 15 minit 55 saat (s) untuk mengungguli kategori lelaki manakala Vivien juga dari Perak, memenangi kategori wanita dengan merekodkan masa 1:39.41s.
“Saya kembali berlari selepas pulih daripada kecederaan Mei lalu, jadi catatan ini sangat memuaskan. Ini bukan masa terbaik saya, tetapi cukup bermakna.
“Dengan status AIMS (Persatuan Maraton dan Larian Jarak Jauh Antarabangsa), keputusan ini boleh digunakan untuk kelayakan maraton luar negara. Saya sasar untuk pecah 1:13 sebelum bersara sepenuhnya dari kategori terbuka,” kata Jin Kuang yang mengusahan perniagaan belacan.
Lebih manis buat Jin Kuang apabila isterinya, Yee Pei Ni, turut mencuri perhatian apabila menjuarai kategori 10km wanita hanya lapan bulan selepas melahirkan anak.
“Kami saling menyokong dan berlatih secara bergilir. Walaupun sibuk dengan kerja dan keluarga, kami sepakat untuk kekal aktif dan menjadikan larian sebagai hobi bersama,” kata Jin Kuang.
Bagi Vivien yang kini bertugas sebagai arkitek di Hong Kong, kemenangannya hadir hanya tiga minggu selepas menamatkan maraton penuh pertamanya di Gold Coast, Australia, dengan masa 3:22 sekali gus melayakkan diri ke Boston Marathon 2026.
“Saya sebenarnya tidak merancang untuk sertai, tetapi bila ternampak hantaran rakan mengenai medal yang cantik, saya terus daftar.
“Saya bermula perlahan kerana cuaca panas dan lembap, tetapi gembira dapat kekalkan prestasi. Ini bukan rekod peribadi, tapi tetap membanggakan,” katanya yang menganggap penyertaannya sebagai spontan.
Vivien sebelum ini turut mencipta nama apabila memenangi kategori enam jam dalam Taiping Endurance Challenge 2025 dengan rekod 60km dan impiannya kini adalah untuk menamatkan kesemua enam siri Kejohanan Utama Maraton Dunia.
Pada kejohanan edisi ini, sebanyak 26 negara mengambil bahagian dalam termasuk pelari dari Amerika Syarikat, Jepun, Australia, China, India dan United Kingdom sekali gus membuktikan reputasi Taiping Half Marathon kian kukuh serta mendapat tempat di peringkat antarabangsa.-UTUSAN