Butaleja, Uganda: Seorang lelaki kampung bergelut untuk menyara keluarga besarnya termasuk 12 isteri, 102 anak dan 578 cucu.
Musa Hasahya Kasera, 68, berkata, semuanya bermula hanya gurauan, tapi kini ia menjadi punca masalah.
“Dengan kesihatan saya yang lemah dan tanah hanya dua ekar (kira-kira 0.8 hektar) untuk keluarga yang besar, dua isteri saya meninggalkan saya disebabkan tidak mampu membeli barang asas seperti makanan, pendidikan dan pakaian,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bugisa, daerah Butalej, di pedalaman Uganda.
Katanya, tiga lagi isterinya kini tinggal di bandar lain, kira-kira dua kilometer jauhnya kerana kesesakan di rumah kampungnya itu.
“Isteri saya menggunakan alat pencegah kehamilan tetapi saya tidak. Saya tidak menjangka untuk mempunyai anak lagi kerana sudah belajar tindakan tidak bertanggungjawab, mempunyai ramai anak sehingga tidak dapat menjaga mereka,” katanya.
Dia mengahwini isteri pertamanya pada 1972 dalam majlis tradisional ketika mereka berdua berusia 17 tahun dan kemudian menerima cahaya mata pertama, Sandra Nabwire, setahun kemudian.
“Saya dinasihatkan oleh abang, saudara-mara dan rakan supaya berkahwin dengan ramai isteri bagi melahirkan ramai anak untuk meluaskan warisan keluarga,” kata Hasahya.
Tertarik statusnya sebagai pedagang haiwan ternakan dan penyembelih, ramai penduduk kampung menawarkan anak mereka kepada Hasahya, malah ada antaranya berumur bawah 18 tahun
Perkahwinan kanak-kanak diharamkan di Uganda pada 1995 manakala poligami dibenarkan di negara Afrika Timur itu mengikut tradisi agama tertentu.
Anak Hasahya yang berjumlah 102, berumur antara 10 hingga 50 tahun manakala isterinya yang paling muda berusia kira-kira 35 tahun.
“Saya hanya ingat nama anak sulung dan anak terakhir, malah ada antara anak yang saya tidak ingat nama mereka,” katanya sambil membelek timbunan buku nota lama bagi mencari butiran mengenai kelahiran mereka.
Katanya, isteri yang membantu dia untuk mengingat nama anaknya yang ramai, malah dirinya sendiri tidak dapat mengingati nama beberapa isterinya.
Untuk itu, dia terpaksa bertanya dengan salah seorang anak lelakinya, Shaban Magino, 30, yang bekerja sebagai guru sekolah rendah dalam membantu menguruskan hal ehwal keluarganya.
Untuk menyelesaikan isu atau pertikaian, Hasahya berkata, ahli keluarga akan bermesyuarat setiap bulan.
Penduduk Bugisa sebahagian besarnya adalah petani yang terbabit dalam pertanian kecil-kecilan seperti padi, ubi kayu, kopi, atau menternak lembu.
Ramai antara ahli keluarga Hasahya cuba mencari wang atau makanan dengan melakukan kerja membantu jiran, atau menghabiskan hari mereka mengambil kayu api dan air dan mereka sering melakukan perjalanan jauh dengan berjalan kaki.
Sesetengah ahli keluarga wanita menganyam tikar atau mendandan rambut, manakala ahli keluarga lelaki bermain kad di bawah pokok.
Apabila hidangan ubi kayu rebus tengah hari sudah siap, Hasahya akan keluar dari pondok dan memanggil keluarganya untuk berbaris mengambil makan.
“Jika makanannya tidak mencukupi, kami terpaksa memberi mereka hanya makan sekali atau dua kali, pada hari tertentu,” kata isteri ketiga Hasahya, Zabina.
Zabina berkata, jika tahu Hasahya mempunyai isteri lain, dia tidak akan bersetuju untuk berkahwin dengannya.
“Malah apabila saya pasrah dengan nasib saya, dia membawa (isteri) yang keempat, kelima sehingga mencapai isteri ke-12,” katanya.
Apabila ditanya mengapa dia menganggap lebih ramai isterinya tidak meninggalkannya, Hasahya berkata: Mereka semua mencintai saya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

