London: Persatuan Bolasepak (FA) mahu hukuman gantung perlawanan lebih panjang dikenakan ke atas penjaga gol Millwall Liam Roberts susulan terjahan kerasnya yang menyebabkan penyerang Crystal Palace Jean-Philippe Mateta menerima 25 jahitan di telinga kiri, menurut kenyataan FA hari ini.
Roberts meluru keluar daripada kawasan golnya untuk menepis hantaran pada minit keenam ketika aksi Piala FA Sabtu lalu tetapi bertembung dengan Mateta dan kakinya terkena kepala pemain itu.
Pengadil Michael Oliver pada awalnya melayangkan kad kuning tetapi selepas melihat reviu VAR, dia mengubahnya kepada kad merah. Pengerusi Palace Steve Parish menganggap terjahan itu adalah yang paling keras pernah dilihatnya.
“FA menganggap hukuman ke atas kesalahan itu jelas tak memadai,” kata FA dalam kenyataan di X. “Liam Roberts mempunyai masa sehingga esok, 6 Mac untuk memberikan respon.”
Roberts akan digantung tiga perlawanan di atas kesalahan itu dan Millwall yang beraksi di Divisyen Dua berkata, mereka akan membantah jika hukuman ke atas Robert dilanjutkan lebih lama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




