Penjawat awam rakam wanita di pekan sehari ditahan, bahan lucah ditemui dalam telefon

Penjawat awam rakam wanita di pekan sehari ditahan, bahan lucah ditemui dalam telefon

am@hmetro.com.my

Temerloh: Sejumlah video lucah ditemui dalam telefon bimbit milik penjawat awam yang ditahan polis kerana merakam bahagian badan seorang suri rumah secara curi di Pekan Sehari Temerloh, di sini, 9 November lalu.

Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron, berkata lelaki berusia 41 tahun itu ditahan kira-kira jam 10 pagi, sejurus merakam video wanita terbabit.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa berusia 33 tahun menyedari video beliau dirakam suspek dan pengunjung pekan sehari bertindak menahan lelaki terbabit.

Katanya, polis ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan menahan lelaki terbabit dan merampas telefon bimbit suspek.

“Hasil pemeriksaan polis menjumpai sejumlah video badan mangsa di galeri telefon bimbit itu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Nasyim berkata, hasil pemeriksaan juga polis turut menemui sejumlah video dan gambar pornografi dalam telefon bimbit suspek.

Menurutnya, siasatan kes termasuk analisa kandungan telefon bimbit lelaki terbabit sedang dilakukan.

“Suspek bekerja sebagai kerani ditahan selama 24 jam sebelum dibebaskan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

“Video kejadian lelaki terbabit ditangkap ketika kejadian mula dikesan tular di media sosial hari ini,” katanya.

Kes disiasat Seksyen 509A, Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan mengaibkan kehormatan seseorang.

Sabit kesalahan boleh dipenjara hingga lima tahun atau denda atau keduanya.

Selain itu, suspek juga disiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan lucah.

Sabit kesalahan boleh dipenjara hingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top