bhnews@bh.com.my
KUALA TERENGGANU: “Saya sanggup jual dua lembu baka ‘charolais’ kesayangan untuk beli kambing berharga RM20,000 itu,” kata Mohd Firdaus Mohd Razali.
Mohd Firdaus, 39, menarik perhatian apabila sanggup berhabis RM20,000 untuk membeli kambing baka jenis ‘boer’ dengan menggunakan wang hasil jualan dua lembu ‘charolais’ dengan harga RM50,000 kepada seorang penternak di Kampung Manir, Terengganu.
“Saya terpaksa jual dua lembu kesayangan untuk membeli kambing baka itu di Kampung Kedai Ahad Gunung, Bachok, Kelantan. Memang sayang terpaksa melepaskan dua lembu itu, jika ikutkan hati mahu jual seekor sahaja tetapi pembeli meletakan syarat jual dua sekali gus.
“Bagaimanapun saya puas hati kerana kambing ‘boer’ betina berusia 10 bulan itu menjadi milik saya sekarang,” katanya yang berasal dari Kampung Beris Lalang, Bachok.
Katanya, kambing dibelinya itu akan memberi keuntungan berlipat kali ganda apabila mula menghasilkan anak-anak baka ‘boer’ yang berkualiti tinggi.
“Bayangkan seekor anak kambing ‘boer’ berusia tiga bulan boleh dijual pada harga RM10,00 ke atas sekarang. Harga kambing baka itu juga sentiasa meningkat memandangkan peminatnya ramai dan permintaan semakin meningkat sekarang,” katanya.
Dia berharap kegiatan penternakan kambing baka terus berkembang dan diterima masyarakat.
“Bidang penternakan kambing baka sudah lama dijalankan, tetapi masih baharu dalam kalangan masyarakat di negara ini. Ramai yang kecam dan tidak boleh terima apabila harga kambing baka sangat tinggi berbanding harga kambing kampung biasa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




