Pelakon cantik, Fasha Sandha, 41, berpendapat golongan pelakon baharu seharusnya menunjukkan rasa hormat terhadap pelakon senior, selain menitikberatkan disiplin dalam kerjaya seni mereka.
Menurut pemilik nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan ini, sepanjang penglibatannya dalam industri hiburan, dia sentiasa memastikan hubungan yang baik terjalin antara dirinya dan barisan pelakon senior.
“Syukur Alhamdulillah, sepanjang kerjaya, saya masih dapat mengekalkan hubungan yang baik dengan artis senior.
“Tanpa pelakon lama dan senior, tiadalah kami pelapis baharu. Berdasarkan pengalaman saya dahulu, zaman kami tidak terlalu terdedah dengan medium media sosial.
“Saya juga berkawan baik dengan artis senior berbanding dengan mereka yang seangkatan atau lebih muda daripada saya. Ini kerana saya rasa sangat seronok bergaul dan dapat menimba ilmu dengan mereka,” katanya.
Fasha ditemui XTRA pada majlis penyerahan sumbangan anjuran Yayasan Nurjiwa X Inayah Beauty pada Jumaat.
@xtra_my Cantiknya Siti Nurhaliza, Intan Najuwa, Fasha Sandha, Elisya Sandha, Intan Ladyana, Watie Hanifiah, Bella Astillah & Dini Latifi 😍 YB Syed Saddiq & Aidil Aziz pun ada! Alhamdulillah, Inayah Beauty & Yayasan Nurjiwa serahkan sumbangan bernilai RM300,000 bagi projek membaik pulih Masjid di Palestin. ❤️🤲🏻 #xtramy #xtratonton ♬ original sound – mistahery
Mengulas lanjut mengenai kepentingan disiplin, Fasha menegaskan komitmen dan sikap profesional adalah elemen penting yang perlu ada dalam diri setiap pelakon untuk terus diberi kepercayaan dalam industri.
“Sejak awal pembabitan dalam bidang lakonan, saya sangat mementingkan komitmen dan disiplin agar sentiasa diberi peluang dan sokongan oleh semua orang.
“Kalau dahulu, lakonan mungkin masih ‘kayu’, tetapi apabila ada disiplin dan kesungguhan ia akan membuatkan mereka sudi memberi kita peluang,” jelasnya.
Tambah pelakon drama bersiri Khilaf Yang Tertulis itu lagi, dia tidak berhenti belajar dan terus memperbaiki mutu lakonannya dengan berguru daripada pelakon-pelakon berpengalaman serta tenaga pengajar profesional.

“Saya sedar, untuk berdiri sebagai seorang aktres, ilmu kena tetap terus dicari dan sehingga sekarang, saya masih berguru dengan artis veteran serta guru lakonan, Fauziah Nawi.
“Ia juga cara saya menghargai artis senior. Jangan berasa diri hebat, kita kena tahu di mana kita berada.
“Pelakon baharu sekarang kebanyakannya sudah menepati waktu dan ada kesungguhan untuk belajar dan tiada apa yang perlu ditegur.
“Sebagai pelakon senior, kita juga perlu beri contoh yang baik dan jangan biarkan pelapis baharu pula menunggu di set kerana kita kena saling menghormati antara satu sama lain,” katanya.
Terdahulu, kecoh di media sosial apabila seorang penyanyi mendakwa menerima layanan tidak baik daripada seorang artis senior, termasuk mempertikaikan kelayakannya sebagai tenaga pengajar.




