KERANA kelengahan tok-tok guru berperanan secara aktif dalam politik menyebabkan ruang-ruang kosong dalam gelanggang politik diduduki oleh ahli-ahli politik yang tak kisah pasal agama dan penyatuan Melayu Muslim.
Advertisement
Sehingga kekuatan Melayu Muslim itu berpecah disebabkan mengejar kepentingan politik puak dan peribadi.
Perjuangan sekelompok ulamak untuk menyertakan seramai mungkin para ulamak dalam gelanggang politik dipandang sepi, bahkan dianggap sebagai memperalatkan ulamak untuk kepentingan politik.
Sudah bertahun saya menulis dan bercakap soal pentingnya para tok guru terlibat dengan politik.
Namun saya sering bertembung dan berlaga dengan sekelompok ulamak yang tidak mahu berpolitik.
Saya pernah sebutkan kepada mereka jika ada yang tidak puas hati dengan negara ini, mari kita betulkan dengan kuasa politik. Dengan syarat tok-tok guru berperanan di dalamnya.
Kini sekali lagi ummat Melayu Muslim ini berpecah kepada beberapa penjuru dalam PRU15 akan datang. Apa kita nak kata lagi?
Apakah kita sekadar menjadi pengkritik di belakang perpecahan yang berlaku? Atau sekadar meratap kesal sambil menyalahkan orang lain?
Masih belum terlambat untuk ulamak yang menolak politik mengakui tindakan memusuhi politik dan ulamak-ulamak berpolitik sebelum ini membetulkan mindset mereka dan mengakui kesilapan itu.
Selama ini kita selalu prejudis dengan sesetengah ulamak yang berpolitik. Sehingga ulamak yang berpolitik tersepit di antara dua himpitan.
Pertama dihimpit oleh ahli-ahli politik yang tidak merestui ulamak hadir di gelanggang mereka. Kedua dihimpit dengan pandangan serong ulamak-ulamak yang menolak politik.
Suka saya berpesan betulkan yang silap dan teruskan yang betul. Ahli politik yang tidak menjadikan agama sebagai landasan berpolitik akan menjadi jahat manakala ulamak yang menolak politik akan menjadi lemah. Masih belum terlambat.
USTAZ MOKHTAR SENIK – HARAKAHDAILY 26/10/2022





