am@hmetro.com.my
Ipoh: Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas merempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) sehingga termasuk melalui tingkap tempat duduk penumpang.
Kejadian di Jalan Tambun berhampiran Taman Industri Halal MARA (MHI), di sini, jam 12.35 tengah hari ini, mengorbankan Mohd Farid Mohd Yusoff, 35.
Mohd Farid meninggal di tempat kejadian manakala pemandu MPV berusia 45 tahun, cedera dan dirawat di Zon Merah Jabatan Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, berkata siasatan awal di lokasi mendapati nahas berlaku ketika MPV jenis Proton Exora dari arah Ipoh menghala Tanjung Rambutan ingin membelok kanan melintas jalan masuk ke Jalan Pinggiran Perpaduan 1.
Menurutnya, mangsa maut yang menunggang motosikal jenis Kawasaki dari arah bertentangan tidak sempat brek untuk mengelak lalu melanggar bahagian pintu penumpang hadalan.
“Penunggang motosikal itu tercampak masuk ke dalam MPV menyebabkan ia hilang kawalan lalu terbabas di tepi jalan.
“Kereta (MPV) itu mula terbakar namun berjaya dipadamkan dengan bantuan orang awam,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
© New Straits Times Press (M) Bhd
