Penunggang motosikal maut dalam perjalanan ke tempat kerja di Singapura

Penunggang motosikal maut dalam perjalanan ke tempat kerja di Singapura

am@hmetro.com.my

Iskandar Puteri : Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan lalu melanggar belakang sebuah lori di Kilometer – 0.6 Lebuhraya Linkedua arah selatan, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.40 petang itu, isteri mangsa yang membonceng motosikal turut cedera akibat kemalangan itu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang berusia 31 tahun itu bersama isteri berusia 29 tahun dalam perjalanan ke tempat kerja di Singapura.

“Penunggang motosikal dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang lori yang bergerak perlahan akibat kesesakan lalu lintas.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian kerana kecederaan di bahagian kepala.

“Pembonceng motosikal pula cedera di kepala dan tangan kiri sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk rawatan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pemandu lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke HSA Johor Bahru untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau berbahaya,” katanya.

Kumarasan turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Kaunter Aduan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Iskandar Puteri di talian 07-5101322 bagi membantu siasatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top