Penunggang motosikal maut tersepit bawah jengkaut

Penunggang motosikal maut tersepit bawah jengkaut

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Shah Alam: Seorang penunggang motosikal maut selepas motosikalnya melanggar sebuah jengkaut sebelum tersepit di bawah jentera berat itu, di sini, tengah malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 12.06 tengah malam.

Menurutnya, kemalangan itu berlaku di laluan dari Shah Alam menghala ke simpang empat kilang gula berhampiran Management and Science University (MSU).

“Kemalangan membabitkan sebuah motosikal Yamaha Y15 yang melanggar sebuah jengkaut.

“Mangsa membabitkan seorang lelaki berusia 20 tahun iaitu penunggang motosikal tersepit di bawah jengkaut berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, anggota bomba kemudian mengeluarkan mangsa sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi membabitkan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) Sitrak,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top