Penunjuk perasaan, junta terus bertembung


YANGON: Pasukan keselamatan Myanmar sekali lagi menggunakan kekerasan hari ini untuk meleraikan penunjuk perasaan, sehari selepas utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa Majlis Keselamatan supaya mengambil tindakan tegas bagi menghentikan keganasan di negara itu.

Angka korban akibat bantahan di merata negara itu dianggarkan sudah melebihi 50 orang dengan puluhan lagi cedera.

Tunjuk perasaan baru dilaporkan di bandar terbesar, Yangon, di mana bom tangan kilat dan gas pemedih mata digunakan ke atas penunjuk perasaan.

Rabu lalu, 18 orang dilaporkan terkorban di sana.

Tunjuk perasaan juga dilaporkan di Myitkyina, ibu kota wilayah utara Kachin, Myeik, di daerah selatan di mana polis melepaskan gas pemedih mata ke arah mahasiswa dan Dawei di tenggara di mana gas pemedih mata juga digunakan.

Tempat-tempat lain termasuk Kyaikto, di wilayah timur Mon, Loikaw, ibu kota Kayah di timur Myanmar dan Myingyan, sebuah bandar di mana seorang penunjuk perasaan maut Rabu lalu.

Keganasan yang semakin teruk juga meletakkan tekanan ke atas masyarakat dunia untuk bertindak menghalang junta, yang merampas kuasa pada 1 Februari lalu dengan menggulingkan kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi.

Rampasan kuasa itu menjejaskan usaha Myanmar selama bertahun-tahun untuk mencapai demokrasi, di mana selama lima dekad ia menderita di bawah pemerintahan tentera yang membawa kepada pengasingan dan sekatan antarabangsa.

Parti Liga Demokrasi Nasional (NLD) Suu Kyi membawa negara itu kepada pemerintahan awam menerusi kemenangan besar dalam pilihan raya pada 2015 dan kemenangan lebih besar dalam pilihan raya pada November 2020.

NLD sepatutnya memerintah untuk lima tahun lagi sejak bulan lalu, tetapi Suu Kyi dan Presiden Win Myint dan anggota lain pemerintah itu ditahan tentera.

Tunjuk perasaan besar-besaran diadakan setiap hari di banyak bandar. Pasukan keselamatan pula bertindak balas dengan menggunakan senjata berbahaya dan tahanan beramai-ramai.

Sekurang-kurangnya 18 penunjuk perasaan ditembak mati Ahad lalu dan 38 lagi pada Rabu, menurut Pejabat Hak Asasi Manusia PBB.

Lebih 1,000 orang sudah diberkas, menurut Pertubuhan Bantuan bebas bagi Tahanan Politik. – AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

Scroll to Top