Penutupan masjid, surau tak bererti amal ibadah terhenti

Kuala Lumur: Penutupan sementara masjid dan surau, selain penetapan had bilangan untuk solat berjemaah di premis terbabit sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa mengundang perdebatan sejak gelombang pertama COVID-19 melanda lagi.

Ramai seperti kurang senang apabila had tertentu dikenakan ke atas jemaah yang dibenar menunaikan solat fardu di surau atau masjid, selain solat Jumaat.
Alasan diberi, tahap pematuhan tinggi terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditunjukkan jemaah selama ini ketika beribadat di surau dan masjid, selain tiada kluster COVID-19 terbentuk akibat aktiviti di kedua-dua premis itu, selepas merebak kluster tabligh tahun lalu.

Tidak kurang juga timbul suara membandingkan SOP ditetapkan untuk masjid dan surau dengan keterbukaan di premis lain seperti pasar, pasar raya dan kemudahan pengangkutan awam.
Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Prof Madya Dr Mohd Roslan Mohd Nor, mengakui ada wajarnya di sebaliknya desakan supaya bilangan jemaah yang dibenar menunaikan solat lima waktu dan solat Jumaat ditambah, lebih-lebih lagi dengan rekod pematuhan SOP yang tinggi di surau dan masjid.

“Jemaah hadir semuanya memakai pelitup muka, siap berwuduk dari rumah, membawa sejadah sendiri dan melakukan penjarakan satu hingga dua meter ketika dalam saf.

“Oleh itu, wajar sekali jemaah solat Jumaat dibenar sehingga 40 orang, mahupun penambahan bilangan jemaah untuk solat fardu. Atau paling tidak, berikanlah kebenaran mengikut kesesuaian keluasan masjid,” katanya ketika dihubungi BH Agama.

Bagaimanapun, Ketua Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam di Akademi Pengajian Islam di Universiti Malaya (UM) itu berharap SOP berkaitan aktiviti di surau dan masjid ketika PKP dapat diselaraskan untuk semua negeri bagi mengelak kekeliruan dan timbulnya pertikaian.

“Kita lihat seperti tiada keseragaman dalam soal ini. Justeru, diharap Majlis Keselamatan Negara (MKN) dapat mencari jalan supaya SOP untuk masjid dan surau lebih seragam.

“Seeloknya, MKN, Kementerian Kesihatan (KKM) dan agensi berkaitan perlu keluarkan garis panduan lebih seragam dan menasihatkan setiap negeri mempersembahkannya kepada Sultan atau Yang di-Pertua Negeri selaku pihak bertanggungjawab dalam urusan hal ehwal Islam di negeri masing-masing,” katanya.

Menyentuh penambahbaikan SOP, Mohd Roslan berpandangan, peraturan sedia ada sudah cukup baik dan berkesan, namun pemantauan polis secara berkala amat membantu bagi memastikan tidak ada jemaah melanggar SOP secara sengaja.

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Fatwa Wilayah Persekutuan, Prof Madya Dr Abdul Bari Awang, percaya isu penetapan had jemaah perlu dilihat melalui gambaran lebih luas kerana ia membabitkan musuh yang tidak dapat dilihat mata kasar.

Justeru, katanya langkah lebih berhati-hati perlu diambil kerana jika ada individu dijangkiti COVID-19, ia akan membabitkan rantaian individu terjejas dan sudah tentu petugas barisan hadapan iaitu jururawat dan doktor paling terbeban.

“Mereka bukan sahaja perlu memantau dan merawat pesakit positif COVID-19 itu, tetapi perlu mengesan kontak rapat yang jumlahnya bukan kecil. Ada antara individu positif COVID-19 mempunyai kontak rapat sehingga ratusan orang, bahkan ada yang satu kampung terpaksa disaring.

“Disebabkan itu, jangan hanya lihat kepada jumlah bilangan jemaah dalam kadar amat sedikit yang dibenarkan, tetapi ambil kira berapa ramai pula yang akan mendapat mudarat jika angka kes bertambah setiap hari,” katanya.

Dr Abdul Bari berkata, seeloknya penetapan had jemaah diserahkan kepada kebijaksanaan Sultan dan pihak berkuasa agama negeri yang akan menilai berdasarkan nasihat mufti, majlis agama Islam negeri, selain mengambil kira pandangan pakar kesihatan dan perubatan KKM.

“Apabila ditetapkan misalnya di sesebuah negeri cuma 10 orang dibenarkan berjemaah, maka perlu diteliti adakah SOP itu berjalan dengan betul dan lancar, juga mengambil kira sama ada kes makin melonjak atau sebaliknya.

“Jika kepatuhan SOP tinggi dan kes makin menurun, wajarlah ditambah had jemaah secara berperingkat. Namun dalam keadaan sekarang dengan ribuan kes dicatatkan setiap hari, lebih baik jemaah dihadkan buat sementara waktu.

“Ia seperti saranan Islam yang melarang kita melakukan perkara yang memudaratkan orang lain seperti hadis Nabi SAW, “Tidak boleh melakukan perbuatan yang mudarat dan dan tidak boleh memudaratkan orang lain. (HR Ibnu Majah),” katanya.

Beliau yang juga Koordinator Khairul Barriyah Pusat Kecemerlangan Kulliyyah Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), berkata umat Islam perlu akur dengan ketetapan dibuat majlis agama Islam negeri berikutan COVID-19 hanya dapat ditangani jika semua bersatu hati dan saling membantu dalam memutuskan rantaian manusia.

“Cara memutuskan rantaian COVID-19 antaranya mengurangkan perhimpunan ramai. Dalam keadaan sekarang, bukan sahaja masjid dan surau terkesan, tetapi penganut agama lain juga tidak dapat menjalankan upacara keagamaan mereka.

“Sepatutnya kita bersyukur kerana sebelum ini pihak berkuasa agama melonggarkan SOP antaranya di Wilayah Persekutuan dengan membenarkan bilangan jemaah mengikut satu pertiga kapasiti masjid atau surau, namun disebabkan kelalaian sesetengah pihak, maka kes COVID-19 melonjak semula.

“Perkara yang menyusahkan individu lain adalah perbuatan yang perlu dielakkan, kerana Islam adalah agama Rahmatan Lil Alamin,” katanya mencadangkan penambahbaikan SOP sedia ada daripada aspek kawalan keselamatan oleh petugas di masjid dan surau.

Dalam pada itu, beliau berharap umat Islam tidak menjadikan isu ini sebagai polemik seolah-olah ‘memusuhi’ masjid dan surau kerana SOP yang dianggap terlalu ketat.

“Kita kena faham, musuh utama bukannya masjid, tetapi virus COVID-19. Jangan kerana disekat memasuki masjid, ada antara kita bermusuh dengan ahli jawatankuasa masjid.

“Bagi masjid pula, masih boleh menjalankan aktiviti kebajikan misalnya menyantuni mangsa COVID-19 yang memerlukan bantuan kewangan atau mencari ahli kariah yang kehilangan kerja atau pendapatan terjejas disebabkan pandemik ini.

“Janganlah apabila masjid tidak dibuka seperti biasa, semua aktiviti turut digantung. Tidak semestinya aktiviti agama itu berpusat di masjid, tiba masanya kita keluar daripada masjid untuk melakukan pelbagai kerja amal.

“Gantikanlah ujian yang kita lalui dengan perkara lain yang boleh memberi manfaat kepada umat Islam, misalnya menyalurkan sedekah kepada ibu tunggal, anak yatim mahupun menyediakan kelengkapan sekolah untuk murid yang kurang berkemampuan dengan menghantar dari pintu ke pintu,” katanya.

Tambahnya, sepatutnya kadar kepatuhan SOP yang tinggi di masjid dan surau menjadi penanda aras kejayaan bagi mencegah penularan COVID-19 sekali gus menggesa pelbagai sektor yang lain termasuk perniagaan, pelancongan dan pekerjaan untuk mengikut teladan yang baik ini. Oleh Latifah Arifin/Bharian

Malay News
Agama Desk