Trofi kemenangan simbol kebangkitan Faisal selepas insiden hitam

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kemenangan Faisal Halim sebagai Penyerang Terbaik pada majlis anugerah Liga M Awards 2025-2026 bukan sekadar trofi individu pertama dalam kariernya, malah menjadi simbol kebangkitan luar biasa pemain Selangor FC itu selepas melalui detik hitam apabila menjadi mangsa simbahan asid pada 2024.

Empat kali tercalon sebelum ini pada edisi 2020, 2021, 2022 dan 2023, Faisal akhirnya menamatkan penantian apabila dinobatkan sebagai Penyerang Terbaik, sekali gus menghadirkan pengiktirafan yang cukup bermakna terhadap perjuangannya untuk kembali ke tahap terbaik.

Lebih istimewa, kejayaan itu hadir selepas pemain berusia 28 tahun berkenaan melalui musim yang penuh cabaran, namun tetap bangkit untuk membuktikan bahawa tiada apa yang mustahil jika disertai keazaman, kerja keras dan semangat untuk kembali bersaing.

Ketajaman Faisal pada musim lalu menjadi bukti kebangkitan itu apabila dia meledak 17 gol secara keseluruhan, satu pencapaian yang memperlihatkan dirinya bukan sahaja kembali ke padang, malah mampu kembali menjadi antara penyerang paling berbahaya.

“Trofi yang cukup bermakna terutamanya selepas musim yang mencabar untuk saya bangkit hingga ke tahap ini.

“Ia bukan mudah, tapi saya cuba sedaya upaya, bekerja keras untuk tolong pasukan dan Alhamdulillah atas kejayaan trofi malam ini.

“Kejayaan ini sudah tentu untuk semua penyokong Selangor dan keluarga saya,” kata pemain kelahiran Pulau Pinang itu.

Trofi berkenaan menjadi kemuncak kepada perjalanan kebangkitan Faisal yang penuh liku, daripada berdepan insiden yang mengubah hidupnya pada 2024 hingga bangkit membuktikan bahawa ujian besar tidak semestinya menjadi noktah kepada impian seorang atlet.

Dua tahun lalu, Faisal cedera parah akibat disimbah asid oleh individu tidak dikenali pada 5 Mei 2024 di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, Selangor.

Dia mengalami melecur tahap empat dan terpaksa menjalani beberapa siri pembedahan sebelum kembali beraksi di padang pada Ogos 2024

Sehingga kini pesalah masih belum ditangkap namun perkara itu tidak pernah mengganggu Faisal apabila tampil lebih ‘bernafsu’ dalam setiap perlawanan diharunginya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top