
Penyokong Liverpool yang kecewa menuntut Slot dipecat selepas kelab tersebut tersingkir daripada kempen Liga Juara-Juara.
SEBAHAGIAN besar penyokong Liverpool meluahkan rasa tidak puas hati terhadap dua keputusan pengurus Arne Slot yang dilihat menjadi punca kekalahan agregat 4-0 kepada Paris Saint-Germain (PSG) dalam perlawan suku akhir Liga Juara-Juara.
Turun di Anfield dengan misi sukar selepas tewas 0-2 pada aksi pertama minggu lalu, Liverpool gagal menampilkan ancaman konsisten apabila PSG lebih menguasai permainan.
Detik penting hadir pada minit ke-65 apabila Alexis Mac Allister dijatuhkan dalam kotak penalti sebelum pengadil Maurizio Mariani pada awalnya menghadiahkan sepakan penalti.
Bagaimanapun, keputusan itu dibatalkan selepas semakan sistem bantuan pengadil (VAR) sekali gus memadam peluang terbaik tuan rumah untuk kembali dalam perlawanan.
Slot kemudian menjadi sasaran kritikan susulan keputusan pertukaran pemain yang dipersoalkan, termasuk tindakan mengeluarkan Joe Gomez dan memasukkan Rio Ngumoha pada babak kedua.
Selain itu, penyokong turut mempersoalkan kegagalan Slot membuat perubahan lebih awal, termasuk tidak memasukkan Ngumoha pada separuh masa pertama.
Kekalahan itu bermakna tumpuan Liverpool kini beralih sepenuhnya kepada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam usaha menjamin kedudukan lima teratas, bermula dengan aksi tetangga Merseyside menentang Everton, Ahad ini.



