London: Arsenal berjaya menyingkirkan Sporting untuk mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah buat musim kedua berturut-turut selepas seri 0-0 di laman sendiri untuk menang agregat 1-0, awal pagi tadi.
Namun, prestasi pasukan kendalian Mikel Arteta itu jauh daripada meyakinkan apabila mereka hanya mempertahankan kelebihan hasil gol lewat masa kecederaan oleh Kai Havertz di Lisbon minggu lalu.
Pasukan pelawat yang tersusun rapi beberapa kali memberi ancaman, terutama pada separuh masa pertama, dan hampir mendahului sebelum rehat apabila voli Geny Catamo terkena tiang gol.
Pemain gantian Arsenal, Leandro Trossard, turut terkena palang pada penghujung perlawanan yang tegang, dalam aksi hambar di mana Sporting kehabisan idea dan gagal menghalang Arsenal mencatat ‘clean sheet’ kelapan dalam 12 perlawanan Liga Juara-Juara musim ini. Keputusan itu mengatur pertemuan separuh akhir menentang Atletico Madrid.
Walaupun keputusan yang paling penting, Arsenal sekali lagi kurang kreativiti di bahagian serangan dan turut menerima tamparan kecederaan menjelang perlawanan besar Liga Perdana Inggeris menentang Manchester City Ahad ini apabila Noni Madueke terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan lutut.
“Kami sangat gembira, ia ujian yang sangat sukar dalam dua perlawanan,” kata kapten Arsenal, Declan Rice.
“Untuk mara ke separuh akhir dua musim berturut-turut adalah pencapaian hebat dan sekarang kami mahu melangkah lebih jauh.”
Arsenal tersingkir di separuh akhir musim lalu kepada juara akhirnya, Paris Saint-Germain, dan mereka perlu meningkatkan prestasi menentang Atletico yang berbahaya jika mahu mara ke final buat kali kedua, selepas tewas kepada Barcelona pada 2006.
Walaupun perlawanan ini penting, aksi menentang Manchester City yang boleh menentukan peluang Arsenal memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris pertama dalam 22 tahun tetap menjadi tumpuan.
Kekalahan 1-2 kepada Bournemouth minggu lalu yang membuka ruang kepada City merupakan kekalahan ketiga Arsenal dalam empat perlawanan terakhir dalam semua kejohanan dan menimbulkan persoalan sama ada pasukan Arteta sudah keletihan di penghujung musim.
Satu lagi keputusan buruk boleh menjejaskan keyakinan menjelang pertembungan di Etihad, namun Arsenal kekal teguh dan menunjukkan semangat juang tinggi untuk mara, walaupun hanya mencatat satu percubaan tepat ke sasaran.
Arteta khususnya gembira dengan kawalan permainan yang ditunjukkan pasukannya, walaupun lega apabila rembatan Joao Simoes dari Sporting tersasar tipis pada saat akhir perlawanan.
“15 hingga 20 minit terakhir kami mengawal permainan dengan sangat baik dan menguruskan transisi,” kata Arteta, pengurus pertama yang membawa Arsenal ke separuh akhir berturut-turut dalam kejohanan elit Eropah.
“Ia malam yang hebat. Saya sangat gembira untuk semua orang di kelab ini. Kami sedang mencipta langkah yang belum pernah dicapai dalam 140 tahun sejarah kelab. Sekarang kami akan menghadapi dua malam magis, satu di Madrid dan satu lagi di sini.”
Bagi pengurus Sporting, Rui Borges, dan penyokong pelawat, ia sekadar hampir berjaya tetapi tidak cukup, selepas pasukan Portugal itu mampu menyaingi pendahulu Liga Perdana Inggeris sepanjang dua perlawanan.
“Saya rasa kami layak mendapat lebih dan mungkin layak ke masa tambahan; dalam kedua-dua perlawanan peluang terbaik adalah milik Sporting,” kata Borges.
“Arsenal tidak mencipta banyak peluang. Tiada sebab untuk kecewa, hanya rasa bangga.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




