Penyokong tinggalkan stadium awal ketika United dimalukan Liverpool 5-0 – Utusan Digital

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

MANCHESTER: Penyokong Manchester United meninggalkan stadium beramai-ramai memasuki minit ke-65 ketika Red Devils dimalukan 5-0 oleh Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, sebentar tadi.

Mohamed Salah meledak hatrik, manakala Naby Keita dan Diogo Jota turut mencetak nama sebagai penjaring untuk memberikan kemenangan terbesar Reds ke atas musuh ketat mereka.

Bertambah malang buat United, semangat mereka untuk bangkit direntap pada minit ke-65 apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Paul Pogba dilayangkan kad merah.

Perancang utama Perancis itu melakukan terjahan dua kaki terhadap Keita hanya 15 minit selepas dibawa masuk, memaksa pemain tersebut diusung keluar padang.

Liverpool tampak ampuh di semua posisi, malah menguasai babak pertama dengan mendahului 4-0.

Keita mengejutkan tuan rumah menerusi jaringan pantas seawal minit kelima, sebelum Jota menggandakan kedudukan 2-0 di minit ke-15.

Salah menunjukkan magisnya dengan meledak gol ketiga Liverpool pada minit ke-38 sebelum menambah jaringan keduanya ketika waktu kecederaan babak pertama.

Pengendali United, Ole Gunnar Solskjaer diejek penyokong tuan rumah ketika melangkah keluar padang.

Hanya lima minit selepas separuh masa kedua bersambung, Salah melengkapkan hatriknya untuk Reds unggul di depan 5-0.

Cristiano Ronaldo yang tenggelam sepanjang babak pertama, meledak gol cantik, malangnya ia dibatalkan pengadil kerana ofsaid.

Pertahanan United yang diketuai Harry Maguire tampak amat rapuh sepanjang perlawanan, malah Ronaldo juga gagal melepasi benteng Liverpool yang ampuh. – AGENSI