Penyokong turut menjadi watak penting kejayaan Perlis United

Penyokong turut menjadi watak penting kejayaan Perlis United

PETALING JAYA: Perlis United FC mendedikasikan kejayaan mara ke pusingan kedua Piala FA kepada penyokong mereka, yang turut berkorban dengan memberi pelbagai bantuan bagi memastikan perjuangan pasukan itu musim ini.

Kelmarin, Singa Utara meneruskan kemaraan selepas mengejutkan pasukan Liga Perdana, PDRM FC 2-0, sekali gus muncul kelab Liga M3 pertama meneruskan kemaraan ke pusingan kedua kejohanan.

Ketua jurulatih Perlis United, Azizul Abidin memuji pemainnya kerana mengikut arahan taktikal, selain mengakui faktor rezeki serta tuah menyebelahi pasukan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Beliau menyifatkan sepakan penalti PDRM oleh Mirbek Akhmataliev yang diselamatkan penjaga gol, Hairol Fazreen pada minit ke-71 menjadi titik penting dalam perlawanan tersebut.

PERLIS United FC menewaskan PDRM FC 2-0 dalam aksi pusingan pertama Piala FA di Stadium KLFA, Cheras.

“Ini semua berkat usaha pemain-pemain apabila berjaya mengikut perancangan yang diatur apabila mereka dapat memadatkan bahagian tengah untuk menyukarkan gerakan pemain lawan.

“Dalam bola sepak, apa sahaja boleh berlaku dan walaupun kami ketahui PDRM sebuah pasukan yang bagus, disiplin serta usaha keras pemain membawa kami ke sini.

“Memang rezeki nyata berpihak kepada kami apabila penalti yang dimiliki PDRM dapat diselamatkan penjaga gol. Di pusingan seterusnya, kita memang mahu jumpa pasukan yang lebih baik bagi berikan pengalaman kepada pemain muda kerana dengan cara sebegini,mereka boleh lagi meningkat.

“Saya juga mahu rakamkan penghargaan kepada penyokong Perlis yang sentiasa mendokong kami sejak hari pertama berlatih malah ada yang berikan sumbangan peribadi demi kemajuan pasukan,” katanya. – UTUSAN ONLINE