am@hmetro.com.my
Ipoh: Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak melakukan pelbagai pembaharuan dalam aspek pengurusannya bagi mengelakkan berlaku salah guna kuasa termasuk isu pengubahan status Tanah Rizab Melayu (TRM) berulang.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ini termasuk pengenalan sistem e-Tanah Perak sebagai usaha mengurangkan risiko penyelewengan.
Menurutnya, pendakwaan terhadap bekas Timbalan Pendaftar Hakmilik PTG Perak di Mahkamah Sesyen Ipoh baru-baru ini adalah kes lama yang mesti dijadikan iktibar.
“Itu kes 2012. Selepas kes itu kita sudah ada e-tanah.
“Sekarang kita lakukan untuk tambah baik pengurusan PTG,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2024 bersama warga Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan Exco Perak, Datuk Hamidah Osman supaya kerajaan negeri menambah baik pengurusan PTG bagi mengatasi kelemahan dan kepincangan di dalam pentadbiran tanah hingga menggadaikan rizab tanah Melayu.
Dalam pada itu, Saarani berkata, pihaknya menyokong ketegasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan hingga individu bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
“Saya percaya radar SPRM bukan di PTG saja kerana kita nak ketelusan bila Perdana Menteri inginkan penguat kuasa itu disempurnakan dengan baik bagi mengelakkan berlaku rasuah dan sebagainya.
“Kita di peringkat (kerajaan) negeri tiada masalah. Apabila ada aduan dan sebagainya, (SPRM) nak masuk buat siasatan itu atas kebijaksanaan mereka.
“Kita tak campur tangan,” katanya.
Terdahulu, bekas Timbalan Pendaftar Hakmilik PTG Perak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada 30 April lalu atas tuduhan menipu status Tanah Rizab Melayu seluas 649.2 hektar di Mukim Sitiawan, Manjung, 12 tahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




