PARIS: Perancis pada bulan ini akan menamatkan kebanyakan sekatan COVID-19 dan memansuhkan pas vaksin untuk makan di luar atau menghadiri program hiburan, kata perdana menteri pada Jumaat.
Selepas lonjakan kes disebabkan varian Omicron, keadaan kesihatan bertambah baik sejak beberapa minggu lalu dengan kurang memberi tekanan ke atas hospital, kata Perdana Menteri Jean Castex dalam satu kenyataan.
Beliau berkata mulai 14 Mac, pas vaksin yang membuktikan seseorang divaksin tiga kali terhadap COVID-19 tidak lagi diperlukan.
Pelaksanaan pas vaksin yang diperkenalkan pada musim panas pada awalnya mencetuskan bantahan apabila ia diwajibkan kepada mana-mana individu yang mahu mengunjungi kafe atau restoran, menaiki kereta api antara bandar atau melawat tempat seperti pawagam dan teater.
Bagaimanapun Castex berkata, pas berkenaan masih diperlukan untuk ke hospital atau rumah persaraan untuk melindungi mereka yang paling terdedah.
Mulai 14 Mac, pelitup muka hanya diperlukan ketika menaiki pengangkutan awam, sekali gus memberi isyarat penggunaannya tidak lagi diperlukan di tempat kerja atau di sekolah.
Perancis merekodkan 138,762 kematian akibat COVID-19 sejak permulaan wabak itu dua tahun lalu.
Presiden Emmanuel Macron berkemungkinan menunjukkan pengendaliannya terhadap wabak itu ketika berkempen untuk pemilihan semula dalam pilihan raya bulan depan, walaupun kempen itu dibayangi perang Russia terhadap Ukraine. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd


