Perancis siasat kematian dua bayi dipercayai minum susu tepung tercemar

Perancis siasat kematian dua bayi dipercayai minum susu tepung tercemar

Bordeaux: Menteri Kesihatan Perancis pada Jumaat meyakinkan pengguna bahawa semua susu formula bayi yang mencurigakan telah ditarik balik, sambil siasatan dijalankan ke atas kematian dua bayi yang dipercayai meminum susu tepung yang mungkin tercemar.

Industri susu formula bayi digemparkan dalam beberapa minggu kebelakangan ini apabila beberapa syarikat menarik balik lot-lot yang berpotensi tercemar dengan cereulide, sejenis toksin yang boleh menyebabkan cirit-birit dan muntah.

Susu yang berpotensi tercemar itu telah “ditarik balik” daripada pasaran, kata Menteri Kesihatan, Stephanie Rist.

Secara khusus, Nestlé menarik balik beberapa lot susu bayi di beberapa negara Eropah pada 6 Januari.

Pihak berkuasa Perancis kini menyiasat punca kematian dua bayi yang didakwa meminum susu itu.

Seorang bayi berusia dua minggu meninggal dunia pada 8 Januari di Bordeaux, barat daya Perancis, selepas meminum susu daripada lot yang telah ditarik balik, menurut seorang pendakwa raya di bandar itu pada Khamis.

Seorang lagi bayi, berusia hanya 27 hari, meninggal dunia pada 23 Disember di bandar barat Angers, kata pendakwa raya tempatan.

Ibu bayi itu menghubungi pihak berkuasa minggu ini, memberitahu bayinya telah meminum susu daripada salah satu lot yang telah ditarik balik dari pasaran.

Setakat ini, pihak berkuasa Perancis belum menemui bukti hubungan langsung antara susu formula itu dan kematian bayi-bayi tersebut.

Nestlé memberitahu AFP pada Jumaat bahawa syarikat itu akan bekerjasama dengan siasatan dan menegaskan bahawa setakat ini “tiada bukti” mengaitkan produknya dengan kematian bayi.

Dalam penarikan semula lain, Danone pada Jumaat berkata ia akan “menarik balik dari pasaran tertentu sejumlah lot terhad susu formula bayi” untuk mematuhi panduan terkini pihak berkuasa keselamatan makanan tempatan.

Sumber yang rapat dengan perkara itu berkata langkah ini susulan perubahan yang diperkenalkan oleh pihak berkuasa, terutamanya di Ireland.

Danone kemudian berkata dalam kenyataan kepada AFP bahawa ia secara sukarela menarik balik dua lot di Perancis sebagai langkah berjaga-jaga “berdasarkan cadangan baharu daripada pihak berkuasa Eropah.”

Langkah ini menyusuli penarikan semula susu Dumex di Singapura pada Sabtu, jenama milik gergasi makanan Perancis itu.

Kumpulan Perancis, Lactalis, pada Rabu turut mengumumkan penarikan balik beberapa lot di Perancis dan negara lain kerana bimbang ia mengandungi cereulide.

Lactalis tidak mendedahkan pembekal di sebalik bahan tercemar itu.

Selain Perancis, negara yang terlibat termasuk Australia, Chile, China, Colombia, Congo-Brazzaville, Ecuador, Sepanyol, Madagascar, Mexico, Uzbekistan, Peru, Georgia, Greece, Kuwait, Republik Czech, dan Taiwan, menurut jurucakap Lactalis kepada AFP.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top