Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menegaskan partinya tidak akan meninggalkan Pakatan Harapan (PH) dan akan terus kekal bersama gabungan itu sehingga tamat tempoh pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
DAP tak mampu bergerak sendirian
Memetik laporan daripada wawancara bersama Channel NewsAsia (CNA), Loke menyatakan DAP tidak mampu bergerak jauh secara bersendirian kerana hanya politik gabungan membolehkan parti itu memainkan peranan dalam pentadbiran serta membawa perubahan kepada negara.
Beliau menambah, DAP hanya akan menjadi pembangkang sekiranya memilih untuk bertanding secara solo.
“Dalam konteks politik Malaysia, saya tidak fikir DAP boleh pergi jauh jika kami bergerak secara solo.
“Anda hanya boleh memainkan peranan sebagai pembangkang.
“Anda tidak boleh menjadi sebahagian daripada proses pembangunan negara. Anda tidak boleh terlibat dalam proses tadbir urus.
“Jika kita benar-benar mahu membawa perubahan kepada kerajaan dan masyarakat, anda perlu berada dalam kedudukan kuasa…
“Saya seorang yang percaya kepada politik gabungan,” kata Loke seperti dilaporkan.

DAP tak akan keluar daripada PH
Beliau turut mendakwa tindakan DAP keluar daripada PH hanya akan memenuhi kehendak pihak lawan yang tidak mahu parti itu berada dalam kerajaan.
Loke turut mengulas kenyataannya pada Disember tahun lalu berhubung penilaian semula peranan DAP dalam kerajaan selepas kekalahan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan ia bukan bermaksud DAP akan menarik balik sokongan terhadap pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas persepsi bahawa DAP tidak lagi lantang selepas menjadi kerajaan, Loke berkata pelaksanaan dasar lebih penting daripada retorik semata-mata.
“Selepas menjadi kerajaan, saya sering mengingatkan mereka bahawa dalam kerajaan, apa yang penting adalah pelaksanaan,” katanya.
“Ia bukan tentang seberapa kuat anda menjerit, tetapi seberapa banyak yang boleh anda lakukan dalam kekangan politik gabungan dan dalam kekangan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata kerajaan masih perlu meneruskan agenda reformasi walaupun berdepan pelbagai cabaran, sambil menegaskan DAP mahu Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang inklusif, berbilang budaya dan agama.
Sumber: Channel NewsAsia (CNA)





