Pereka Grafik Harian Metro meninggal dunia

Pereka Grafik Harian Metro meninggal dunia

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Suasana pilu menyelubungi Apartmen Abdullah Hukum, di sini hari ini, selepas seorang kakitangan Harian Metro, Muhammad Faizal Mohd Fauzi, 44, disahkan meninggal dunia di kediamannya.

Allahyarham yang berkhidmat lebih 20 tahun bersama Harian Metro (HM) sebagai pereka grafik mesra disapa ‘Black’ dikenali sebagai seorang yang tenang, mesra serta disenangi rakan sekerja.

Abangnya, Firdaus Mohd Fauzi, 45, berkata, kali terakhir mereka bertemu adalah sebelum Ramadan lalu sebelum diberitahu berkaitan kejadian ini oleh rakan serumah adiknya.

Menurutnya, pemergian Allahyarham amat mengejutkan kerana arwah tidak menunjukkan sebarang tanda tidak sihat sebelum ini.

“Dia (Black) seorang yang kelakar, suka bergurau dan mudah bergaul dengan semua orang. Dia memang disenangi ramai,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, rakan-rakan dan kenalan turut melahirkan rasa kehilangan terhadap Allahyarham yang disifatkan sebagai seorang yang mudah bergaul dan sering menceriakan suasana.

Jenazah Allahyarham dijangka menjalani proses bedah siasat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) esok sebelum urusan pengebumian dijangka dilakukan di kampung halamannya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Turut hadir menziarahi kediaman arwah ialah Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa Media Prima yang juga Pengarang Kumpulan NST, Farrah Naz Abd Karim; Pengarang Kumpulan HM, Husain Jahit dan Pengarang Kumpulan Berita Harian (BH), Zulkifli Jalil.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top