Tokyo: Evan Dunfee dari Kanada dan Maria Perez dari Sepanyol menghadiahkan emas pertama pada Kejohanan Olahraga Dunia di Tokyo selepas menjuarai acara jalan kaki 35km lelaki dan wanita, hari ini.
Dunfee, 34, mencatat masa 2 jam 28 minit 22 saat di jalanan ibu kota Jepun dalam keadaan cuaca lembap, menewaskan wakil Brazil, Caio Bonfim.
Atlet tuan rumah, Hayato Katsuki, melengkapkan podium sekali gus menggembirakan penyokong pagi di Stadium Nasional, yang pernah sunyi tanpa penonton sewaktu Olimpik Tokyo 2021 akibat pandemik Covid-19.
“Ia adalah impian yang jadi kenyataan,” kata Dunfee, yang sebelum ini meraih gangsa dalam acara 50km di Kejohanan Dunia 2019 dan Olimpik Tokyo.
Tanpa penuyandang juara, Alvaro Martin dari Sepanyol (bersara) dan Massimo Stano dari Itali (cedera hamstring), Dunfee memecut ketika berbaki 5km untuk mendahului dan tidak lagi dipintas sehingga garisan penamat.
“Jurulatih saya bersama sejak saya berusia 10 tahun. Kami tetapkan sasaran untuk menjadi juara dunia dan cipta rekod dunia. Tahun ini kami capai kedua-duanya, ia benar-benar impian jadi nyata,” katanya.
Bagaimanapun, perjalanan emas itu tidak mudah apabila Dunfee mengakui berdepan kesukaran.
“Pada separuh kedua perlumbaan, saya berada di depan, tetapi dua kilometer terakhir adalah yang paling sukar dalam hidup saya. Saya salurkan semua kekuatan untuk orang di rumah, yang sentiasa menyokong saya,” ujar atlet Kanada itu.
Sementara itu, Perez mempertahankan gelaran 35km jalan kaki wanita untuk meraih emas dunia ketiganya secara keseluruhan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




