Perjelas Polisi Perlindungan Murid ada implikasi undang-undang atau tidak – Pakar pendidikan

SHAH ALAM – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui penasihat undang-undangnya digesa mengeluarkan kenyataan jelas dan rasmi sama ada pihak yang menandatangani akujanji Polisi Perlindungan Murid Sekolah khususnya guru terikat dengan implikasi perundangan atau tidak.

Pakar pendidikan, Dr Anuar Ahmad berkata, semua pihak sudah pun mendengar kenyataan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad bahawa akujanji itu hanya bersifat pilihan, bukannya wajib dan dijamin tiada tindakan tatatertib mahupun teguran bakal diambil terhadap mana-mana guru yang tidak bersedia untuk menandatanganinya.

Malah, menurut beliau, tiada implikasi undang-undang dikenakan terhadap guru seandainya ibu bapa nekad mengambil tindakan perundangan apabila berlaku kejadian tidak diingini kepada anak mereka di sekolah.

Bagaimanapun, beliau melihat kenyataan itu bercanggah dengan peguam Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Francis Pereira yang mengatakan bahawa akujanji tersebut mempunyai implikasi undang-undang.

“Maksud (NUTP), mana-mana guru atau pihak yang menandatangani akujanji, maka surat akujanji tersebut boleh digunakan sebagai bahan bukti menyatakan tentang perakuan berkaitan menjaga perlindungan murid.

“Jadi, ada dua keadaan yang menjadikan guru serba salah nak tanda tangan atau tidak. Di pihak kementerian kata tiada implikasi perundangan, tetapi di pihak NUTP kata ada implikasi.

“Mangsa keadaan sekarang ialah guru-guru,” katanya menerusi hantaran video di Facebook pada Jumaat.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sebelum ini meminta warga guru supaya bertenang dan memberi ruang kepada KPM untuk memperincikan pelaksanaan Polisi Perlindungan Murid Sekolah yang mencetuskan kegusaran banyak pihak.

Kata Fadhlina, dasar tersebut dirangka bagi menjamin perlindungan menyeluruh kepada semua pihak yang berurusan dengan murid, mengutamakan aspek keselamatan murid, guru serta seluruh warga sekolah.

Pelaksanaan polisi itu yang diumumkan menerusi Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) bertarikh 1 Julai lepas mewajibkan warga sekolah dan pihak luar yang mempunyai urusan dengan sekolah serta warganya menandatangani surat Akujanji Kepatuhan Polisi Perlindungan Murid Sekolah sebagai bukti komitmen terhadap keselamatan murid.

SPI berkenaan menggariskan lima fokus utama reformasi pendidikan iaitu kesihatan mental; pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial, keganasan seksual kanak-kanak dan pencegahan bahan terlarang; polisi perlindungan murid dan kebajikan guru serta suara murid.

Mengulas lanjut, Anuar memaklumkan, kempen yang dilakukan pegawai-pegawai KPM menyebabkan guru terhimpit, melihat kepada senario ketika ini.

Jelasnya, ramai guru-guru meluahkan kebimbangan kepadanya dan rata-ratanya mengakui masih keliru dengan status Polisi Perlindungan Murid Sekolah.

“Kalau tak tandatangan, nampak tak selari dengan aspirasi kepimpinan. Kalau mahu tandatangan, adakah selepas ini akan ada implikasi undang-undang?

“Jika saya berada di tempat guru pun saya serba salah dan ini memberi kesan kepada psikologi guru, terhimpit di antara dua pihak yang sedang bertelagah.

“Justeru, saya fikir perkara ini mesti diselesaikan. Tak sesuailah kita biarkan guru-guru berfikir dan membiarkan sumber tidak rasmi membincangkan hal-hal sebegini kerana ia melibatkan undang-undang serta masa depan guru,” ujarnya lagi.

Scroll to Top