am@hmetro.com.my
Shah Alam: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat ke Majlis Doa Selamat sempena Perkahwinan Diraja Tengku Amir Shah dan Cik Afzaa Fadini Abdul Aziz di Masjid Sultan Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri), di sini malam ini.
Turut berangkat, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Keberangkatan tiba baginda diiringi Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri, Dr Mohammad Fahmi Ngah; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Senator Datuk Salehuddin Saidin dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad.
Menurut Seksyen Komunikasi Korporat JAIS, majlis doa selamat sempena perkahwinan diraja itu diadakan secara serentak di semua masjid serta lebih 1,000 surau solat Jumaat di seluruh negeri ini malam ini.
“Bagi Masjid Negeri, majlis doa selamat ini diketuai oleh Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir.
“Majlis doa selamat diadakan serentak di semua masjid, surau kebenaran solat Jumaat dan musolla kebenaran solat Jumaat di Selangor mulai solat Maghrib hari ini.
“Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin serta Tengku Amir Shah turut berkenan menunaikan solat Maghrib dan Isyak berjemaah bersama rakyat sebelum berangkat ke majlis santapan di Dewan Muzakarah dan Syarahan Islam Masjid Negeri,” katanya kepada media di majlis berkenaan.
Majlis anjuran JAIS ini bagi memohon doa semoga Istiadat perkahwinan dan majlis yang dirancang akan dapat berjalan dengan lancar dan sempurna serta mendapat keberkatan daripada Allah SWT.
Media sebelum ini melaporkan, Raja Muda Selangor akan melangsungkan pernikahan dengan pasangan baginda, Cik Afzaa Fadini pada 2 Oktober di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang.
Istiadat Persandingan Diraja dan Majlis Santapan Diraja bagi memuliakan Istiadat Perkahwinan Diraja, Raja Muda Selangor pula akan diadakan di Balairung Seri dan Balai Santapan Diraja, Istana Alam Shah pada 22 Oktober.
© New Straits Times Press (M) Bhd




