mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kumpulan Yarmuk yang berasal dari Johor, tetapi ditubuhkan di Arab Saudi pada 2020 pernah mencipta nama di luar negara melalui mini album berjudul Perjuangan Yarmuk pada 2022.
Yarmuk dianggotai oleh Yasser sebagai vokalis, Aju (gitar), Fian (gitar), Zin (bass) dan Al Azmi (dram) terus mengorak langkah untuk menempatkan diri sebaris dengan kumpulan rock ternama tanah air yang lain terutama apabila lagu Perjuangan Yarmuk turut diterima dan diminati pendengar di luar negara seperti Turkiye dan Russia.
Al Azmi yang juga pengasas Yarmuk berkata, ia sesuatu yang di luar jangka kerana Perjuangan Yarmuk adalah lagu berbahasa Melayu, sedangkan mereka turut merakamkan sebuah lagu berbahasa Inggeris dengan harapan diterima pendengar antarabangsa.
“Tak sangka pula lagu Perjuangan Yarmuk yang menjadi pilihan pendengar luar negara. Lagu ini juga pernah menjuarai Top One carta muzik online DIY Popskool Oktober 2024 selepas menerima undian tertinggi mengatasi 60 lagu lain yang turut memasuki carta terbabit.
“Ia secara tidak langsung memberikan semangat kepada kami untuk terus berkarya dan menghasilkan album rock berkualiti bagi mengisi ruang industri muzik rock tanah air yang ketandusan album kumpulan rock baharu,” katanya.
Album Perjuangan Yarmuk mendapat sentuhan Aim, penyanyi kumpulan legenda Crossfire sebagai penerbit.
Mereka kini sekali lagi menjalin kerjasama dengan Aim sebagai penerbit album terbaharu, selain Al Azmi sendiri bertindak sebagai penerbit eksekutif album yang dijangka berada di pasaran pada penghujung tahun ini.
Penghasilan album ini adalah satu usaha besar dan berani ditengah ketidaktentuan hala tuju industri muzik tempatan.
Selain Aim, Burn Crossfire (pemain gitar utama kumpulan Crossfire) turut sama membantu dalam susunan muzik album baharu Yarmuk di bawah label Quantize Studio & Production miliknya selain Atok Akem (Otai Art Studio Mastering) yang bertindak sebagai juru mastering.?
“Album yang diberi judul Thariq ini bakal memuatkan sekurang-kurangnya campuran 12 lagu rock berat, funky dan slow rock berkonsepkan rock 80’an yang dijangka dapat memenuhi cita rasa peminat muzik rock tanah air.
“Yarmuk masih mengekalkan identiti muzik rock dengan mesej tarbiah dalam album terbaharu serta turut menyelitkan pautan kisah sejarah dan sirah. “Antara trek yang bakal ditampilkan dan dijangka mendapat perhatian pendengar ialah Isra’, Kuku Besi (cover), Jendela Hafsah, Sang Puteri dan Anak Gaza disamping lagu lain yang turut dimuatkan,” katanya.
Al Azmi berkata, ia adalah pilihan terbaik selepas disaring untuk dihidangkan buat peminat rock tanah air.
Yarmuk juga dikejutkan dengan pemergian Aju atau nama sebenarnya Zuraimi Saat pada April lalu akibat masalah jangkitan kuman.
Al Azmi berkata, pemergiannya memberi kesan mendalam kepada Yarmuk, namun legasi semangat muziknya perlu diteruskan.
Sesuatu yang istimewa Yarmuk mengambil inisiatif mencetak album baharu mereka dalam bentuk kaset, selain turut dimuat dalam bentuk fail MP3 dan MP4 (usb card).
Turut disertakan bersama ialah cenderahati berupa poster dan jualan baju-T untuk koleksi peminat.
“Pelancaran album dirancang dibuat di dua lokasi dan masa berasingan iaitu di Tangkak, Johor dan kemudian di I’cafe Sungai Buloh, Selangor.
“Perancangan rapi sudah pun diatur termasuk mengundang beberapa pemuzik rock tanah air untuk bersama di majlis pelancaran album Thariq,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




