syazrina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Masalah kesihatan mental dalam kalangan pelajar yang menjadi topik perbualan sejak kebelakangan ini mendorong banyak pihak tampil dengan pelbagai inisiatif untuk mengupas isu itu secara lebih mendalam.
Ia termasuk Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (ICEPS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam yang menganjurkan Program Wellbound 2025 kendalian pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Interpersonal) ICEPS UiTM di Sekolah Menengah Kebangsaaan Taman Yarl, Bukit Jalil, 9 Julai lalu.
Pengarah Program, Noor Fatihah Mustapha berkata, dengan tema Tubuh Sihat, Kendiri Kuat, inisiatif itu sebahagian daripada tugasan berkumpulan untuk subjek INC 532 Komunikasi Kesihatan di bawah bimbingan pensyarah, Dzulkarnain Mazlan.
“Program selama hampir lima jam ini menyaksikan penyertaan 25 peserta terpilih termasuk pendidik, pelajar, dan wakil organisasi bukan kerajaan (NGO) dalam usaha mempromosikan kesihatan mental dan kesejahteraan dalam kalangan belia.
“Ini amat penting kerana ramai dalam kalangan remaja tidak menyedari bahawa mereka sedang mengalami tekanan atau masalah emosi,” katanya.
Menurutnya, melalui program itu juga, peserta dapat menambah pengetahuan mengenai tanda-tanda awal masalah kesihatan mental dan cara mengatasinya.
“Program ini juga bertujuan mengurangkan stigma terhadap isu kesihatan mental agar generasi muda lebih terbuka untuk mendapatkan sokongan apabila diperlukan,” katanya.
Sementara itu, Pengetua SMK Taman Yarl, Dr Ahmad Kamal Arifin berkata, pihaknya menyokong sepenuhnya inisiatif itu yang dapat memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti pelajar.
“Program seperti ini dapat memberikan pendedahan mengenai risiko kesihatan mental kepada golongan muda terutama pelajar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




