Perkukuh ekosistem getah, sasar kemakmuran pekebun kecil

Perkukuh ekosistem getah, sasar kemakmuran pekebun kecil

Pembangunan pekebun kecil getah tidak hanya bermula di kebun, sebaliknya berakar daripada penyediaan benih berkualiti, pengurusan tapak semaian yang cekap serta amalan pertanian yang baik.

Atas asas inilah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Gerah (RISDA) terus memperkukuh ekosistem komuniti getah secara menyeluruh bagi memastikan pekebun kecil memperoleh manfaat lebih mampan daripada komoditi utama negara ini.

Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib telah mengadakan lawatan ke RISDA Semaian Kampung Sekijang, Segamat, Johor pada Jumaat.

Lawatan itu memberi tumpuan kepada operasi tapak semaian, pengurusan harta tanah, pengeluaran benih serta peranan Depo Pengumpulan Lateks (DPL) Kampung Sekijang dalam memperkukuh rantaian nilai industri getah di peringkat lapangan.

Hadir sama dalam lawatan itu ialah Pengarah Bekalan Input Pertanian RISDA, Esa Rahimin; Pengarah Pentadbiran RISDA, Muhamad Mahathir Abdul Rahim; Pengarah RISDA Johor, Muhd Khairuddahri Abd Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif RISDA Semaian & Landskap Sdn Bhd (RSSB), Siti Rosnani Mohd Jalil.

Manndzri melihat sendiri operasi tapak semaian anak benih getah di RISDA Semaian Kampung Sekijang pada Jumaat.

Manndzri melihat sendiri operasi tapak semaian anak benih getah di RISDA Semaian Kampung Sekijang pada Jumaat.

RISDA Semaian Kampung Sekijang yang diuruskan oleh RSSB merupakan aset strategik agensi itu dalam menyokong ekosistem getah negara.

Beroperasi sejak 1960 di kawasan seluas lebih 1,200 hektar, RSSB mengurus aktiviti ladang dan semaian, termasuk penyediaan benih getah berkualiti bagi keperluan penanaman semula serta pembangunan industri getah.

Penyediaan benih berkualiti mengikut pengesyoran Lembaga Getah Malaysia (LGM) menjadi asas kepada produktiviti kebun dan hasil jangka panjang pekebun kecil.

Usaha itu diperkukuh melalui penerapan Amalan Pertanian Baik (GAP), merangkumi penjagaan tanaman, pembajaan, kawalan penyakit dan pengurusan hasil yang teratur.

Selain penyediaan benih, ekosistem getah turut diperkukuh melalui pembangunan Depo Pengumpulan Lateks (DPL) Kampung Sekijang.

RISDA melalui syarikatnya, RISDA Semaian & Landskap Sdn Bhd (RSSB) sedia menawarkan benih getah bermutu tinggi kepada semua yang berminat.

RISDA melalui syarikatnya, RISDA Semaian & Landskap Sdn Bhd (RSSB) sedia menawarkan benih getah bermutu tinggi kepada semua yang berminat.

DPL Kampung Sekijang mempunyai potensi pengeluaran lateks yang baik dan telah mencatatkan nilai jualan positif bagi tempoh awal tahun 2026.

Dalam lawatan tersebut, Manndzri turut merasmikan DPL Kampung Sekijang sebagai kemudahan sokongan bagi urusan pengumpulan hasil getah pekebun kecil di kawasan sekitarnya.

“Kemudahan seperti ini penting bagi membantu pekebun kecil dan pemain komoditi getah kekal berada dalam ekosistem pemasaran yang lebih tersusun,” kata Manndzri.

Beliau berkata, pasaran harga getah kini dilihat mengukuh melalui peranan RISDA sebagai pembeli utama hasil getah, dengan sokongan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Perkembangan ini mampu mengembalikan keyakinan pekebun kecil terhadap sektor getah, sekali gus menuntut kesiapsiagaan tapak semaian bagi memastikan bekalan benih mencukupi” katanya.

Secara keseluruhannya, lawatan itu memperlihatkan pembangunan komuniti getah memerlukan ekosistem yang menyeluruh, merangkumi pengurusan tanah, penyediaan benih, penerapan GAP, pengumpulan hasil dan pemasaran yang lebih tersusun.

Melalui peranan berterusan RISDA serta sokongan kerajaan, Sekijang menjadi contoh bagaimana aset dan pengurusan hasil dapat digembleng bagi memastikan komoditi getah kekal relevan, produktif dan menyumbang kepada kesejahteraan pekebun kecil serta pembangunan desa yang mampan.

Scroll to Top