harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Usaha perkukuh budaya integriti dan pematuhan dalam sektor swasta menjadi isu utama dibincangkan pada sesi dialog Pematuhan Sektor Swasta dan Budaya Integriti sempena Mesyuarat Principals ASEAN-PAC ke-21 di sini, hari ini.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, sektor swasta mempunyai peranan besar dalam pembangunan negara.
Menurutnya, pengaruh besar itu datang dengan beban tanggungjawab untuk menegakkan ketelusan, akauntabiliti, dan tadbir urus yang baik.
“Budaya integriti bukan sekadar kewajipan moral, tetapi merupakan kelebihan strategik yang mampu meningkatkan reputasi syarikat, memperkukuh keyakinan pelabur dan menjamin kejayaan perniagaan secara mampan.
“Kita mahu integriti menjadi sebahagian daripada ‘DNA’ organisasi iaitu nilai yang hidup dalam setiap tindakan, keputusan dan budaya kerja. Ia perlu dipupuk di setiap peringkat daripada kepimpinan tertinggi hingga ke barisan pelaksana,” katanya pada sesi dialog berkenaan.
Katanya, sesi dialog hampir dua jam itu menyentuh pelbagai strategi dalam pemerkasaan tadbir urus baik dalam dunia perniagaan serta inisiatif “Keep Malaysia Clean” ke arah menjadikan negara bebas rasuah secara lebih holistik.
Sementara itu, Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM, Datin Yasmin Ahmad Merican berkongsi tiga tonggak utama dalam inisiatif “Keep Malaysia Clean” iaitu Nilai Murni, Masyarakat Murni dan Alam Sekitar Murni.
Antara ahli panel dialog termasuk Pengerusi Eksekutif Halim Mazmin Berhad, Tan Sri Dr Halim Mohammad; Pengerusi Panel Penilaian Operasi (PPO) SPRM, Datuk Ahmad Rosli Mohd Sham; Setiausaha Kehormat Balai Ikhtisas Malaysia, Lim Kok Sang; Ketua Pasukan Hab Antirasuah Pejabat Serantau UNODC untuk Asia Tenggara, Annika Wythes; dan Pakar Integriti Kanan Asian Development Bank, Steven Wong.
Turut hadir Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Junipah Wandi dan pengarah-pengarah bahagian SPRM.
© New Straits Times Press (M) Bhd




