NOVAK Djokovic mengakui bahawa beliau sendiri terkejut dengan kemampuannya untuk bertahan lebih lama daripada Felix Auger-Aliassime dalam perlawanan epik lima set yang mencatat sejarah sebagai suku akhir paling panjang dalam sejarah Wimbledon.
Djokovic yang 14 tahun lebih berusia daripada Auger-Aliassime terpaksa berjuang dengan kecederaan betis sepanjang perlawanan klasik yang berlangsung selama lima jam 15 minit dalam cuaca yang sangat panas.
Pemain Serbia berusia 39 tahun itu entah bagaimana berjaya mengumpulkan semula tenaga, fokus dan semangat juang untuk menewaskan pemain pilihan ketiga dari Kanada itu 7-6 (12/10), 3-6, 6-3, 6-7 (4/7), 7-6 (10/4), sekali gus menempah pertemuan separuh akhir yang penuh tumpuan menentang juara bertahan, Jannik Sinner.
Djokovic kelihatan keletihan pada beberapa ketika dalam set terakhir, yang hanya dapat ditentukan menerusi tie-break mendebarkan yang berakhir hanya beberapa minit sebelum peraturan had masa pukul 10 malam waktu tempatan yang akan menghentikan permainan bagi malam tersebut.
Enggan menerima kekalahan, Djokovic yang tidak mengenal erti putus asa mempamerkan antara persembahan paling berdaya tahan dalam karier gemilangnya yang telah menghadiahkan 24 gelaran Grand Slam, menyamai rekod sepanjang zaman.

Djokovic yang 14 tahun lebih berusia daripada Auger-Aliassime terpaksa berjuang dengan kecederaan betis sepanjang perlawanan klasik di gelanggang tengah yang berlangsung selama lima jam 15 minit dalam cuaca yang sangat panas.
Djokovic sememangnya terkenal dengan kemenangan maraton sepanjang kariernya, namun beliau mengakui bahawa kemenangan kali ini lebih istimewa memandangkan usianya ketika kebanyakan rakan seangkatannya sudah lama bersara.
“Saya rasa ya, pada tahap ini saya masih mampu bersaing dengan pemain muda yang 15 tahun lebih muda daripada saya, dan masih boleh menewaskan mereka dengan keputusan yang begitu sengit. Sudah tentu, dalam satu sudut, ia adalah satu kejutan yang benar-benar menggembirakan.
“Saya juga cuba menikmati detik-detik seperti ini. Saya fikir ia satu pengalaman yang sangat mendebarkan untuk kami sebagai pemain, juga untuk penonton. Saya pasti ramai yang menonton melalui televisyen turut merasainya. Saya gembira dapat menjadi sebahagian daripada satu lagi perlawanan bersejara,” katanya.
Djokovic meletakkan kemenangan luar biasanya itu sebaris dengan final Wimbledon 2019 menentang Roger Federer, yang dimenanginya dalam lima set selepas empat jam 57 minit, sebagai antara perlawanan terbaik dalam kariernya.
“Sangat mengujakan untuk menjadi sebahagian daripada perlawanan epik yang berlangsung lebih lima jam, apa pun tempohnya. Sejujurnya, ini antara perlawanan terbaik yang pernah saya lalui di Wimbledon. Mungkin final Wimbledon 2019 hampir setanding dari segi tempoh perlawanan.
“Penonton berdiri memberikan sokongan, terutama dalam 30 minit terakhir. Mereka menyedari betapa istimewanya detik itu. Saya sangat bangga dapat muncul sebagai pemenang,” katanya.
‘Sama hebat seperti final’
Sebelum ini, Djokovic pernah bercakap mengenai penggunaan teknologi terkini untuk memastikan tubuhnya kekal berada pada tahap terbaik bagi bersaing dengan pemain yang jauh lebih muda.
Beliau menggunakan ruang terapi hiperbarik dan krioterapi, rendaman sejuk, serta terapi cahaya merah dan denyutan elektrik bagi menghalang faktor usia daripada menggagalkan usahanya memburu gelaran Wimbledon kelapan untuk menyamai rekod.
Rawatan tersebut jelas menunjukkan hasil apabila Djokovic menjadi pemain lelaki tertua yang mara ke separuh akhir Wimbledon sejak Ken Rosewall pada tahun 1974.
Beliau kini telah melangkah ke separuh akhir Wimbledon buat kali ke-15 dan separuh akhir Grand Slam buat kali ke-55 dalam kariernya.

Reaksi Felix Auger-Aliassime dari Kanada selepas memenangi set pertama menentang Novak Djokovic dari Serbia dalam perlawanan suku akhir perseorangan lelaki mereka pada hari kesembilan Kejohanan Wimbledon 2026.
Djokovic juga mara ke kelompok empat terbaik Wimbledon buat lapan kali berturut-turut, sekali gus mencipta rekod baharu bagi rentetan penampilan separuh akhir lelaki paling lama di All England Club.
Namun persoalan paling penting buat Djokovic sekarang ialah sama ada beliau mampu pulih sepenuhnya sebelum berdepan Sinner.
“Saya tidak tahu apa yang akan berlaku esok. Sejujurnya, kita lihat sahaja nanti. Saya masih berada dalam kejohanan ini,” katanya.
“Saya masih mahu melangkah sekurang-kurangnya satu lagi tahap ke hadapan. Tetapi bagi saya, perlawanan ini sudah terasa seperti sebuah final. Saya memberikan segala yang saya ada.”
Djokovic, yang kali terakhir menjuarai Wimbledon pada tahun 2022, menewaskan Sinner dalam separuh akhir Terbuka Australia pada Januari lalu dalam perlawanan lima set. Namun, beliau dibelasah oleh pemain Itali itu pada peringkat separuh akhir Wimbledon 12 bulan yang lalu.
“Kini saya akan berdepan Sinner. Satu lagi perjalanan hebat dan bersejarah buat saya di Grand Slam. Inilah yang paling penting bagi saya sebenarnya,” kata Djokovic.
“Saya masih berusaha membuktikan kepada diri sendiri dan orang lain bahawa saya masih mampu bersaing dengan pemain terbaik dunia dan menewaskan mereka di pentas paling besar,” katanya. – AFP



