Perlis tuan rumah Kejohanan Golden Glove, Tinju Remaja Kebangsaan

Perlis tuan rumah Kejohanan Golden Glove, Tinju Remaja Kebangsaan

KANGAR – Buat julung kalinya, Perlis akan menjadi tuan rumah bagi Kejohanan Golden Glove dan Kejohanan Tinju Remaja Kebangsaan 2022 yang dijadualkan berlangsung pada 23 hingga 29 Mei di Arena Futsal, Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra di sini.

Naib Presiden Persatuan Tinju Negeri Perlis, Rosli Salim berharap semua petinju mengambil peluang dalam kejohanan anjuran Persekutuan Tinju Malaysia (PTM) dengan kerjasama Persatuan Tinju Negeri Perlis ini bagi mengetengahkan bakat mereka.

“Diharap petinju muda juga tidak melepaskan peluang ini kerana objektif penganjuran adalah bagi mencungkil bakat-bakat baharu yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi sama ada ke peringkat negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa,” katanya kepada Bernama di sini pada Selasa.

Beliau berkata, sejak kebelakangan ini sukan tinju semakin mendapat sambutan di Perlis khususnya dalam kalangan petinju muda yang menunjukkan kesungguhan dalam latihan.

Menurutnya, sebanyak 13 kategori berat badan akan dipertandingan bagi petinju elit (berumur 22 hingga 40 tahun), 10 kategori berat badan bagi petinju remaja (berumur 17 hingga 18 tahun) dan enam kategori bagi petinju wanita.

Tambah beliau, selain 14 pasukan daripada negeri ini, kejohanan tersebut akan turut disertai petinju dari Majlis Sukan Angkatan Tentera, Majlis Sukan Polis Diraja Malaysia dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Sementara itu, jurulatih tinju negeri Perlis Hamzah Abdullah berkata anak didiknya telah bersedia untuk hadapi cabaran tersebut setelah sekian lama tidak mengikuti kejohanan akibat pandemik Covid-19.

“Ini adalah peluang terbaik untuk menguji petinju muda sebagai pendedahan kepada mereka mengikuti kejohanan sebenar setelah berehat panjang (tidak mengikuti kejohanan),” katanya.

Kali terakhir kejohanan tersebut dianjurkan ialah pada 2019 di Besut, Terengganu dan acara tahunan itu terpaksa ditunda selama dua tahun akibat pandemik Covid-19 yang melanda dunia.