Kuala Kangsar: Gelombang solidariti rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin perlu terus disemarakkan supaya memberikan mesej jelas kepada dunia bahawa kezaliman dan penindasan oleh rejim Zionis tidak boleh dibiarkan berterusan.
Aktivis kemanusiaan Norazman Ishak yang juga peserta misi Global Sumud Flotilla (GSF) berkata misi solidariti itu tidak terhenti di peringkat pelayaran semata-mata sebaliknya perlu diteruskan dalam bentuk kesedaran dan tindakan di dalam negara.
“Kita harap gelombang ini terus menekan dunia khususnya melalui Malaysia untuk membahaskan isu Palestin. Bulan November nanti, Presiden Colombia Gustavo Petro akan membawa satu usul di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi pengiktirafan negara Palestin, jadi tanggungjawab kita sekarang ialah memastikan momentum ini berterusan,” katanya dalam sidang media program Xplorasi Rakit Flotila 4 Palestin yang dianjurkan Yayasan Amal Malaysia di sini hari ini.
Mengulas pandangan segelintir pihak yang skeptikal terhadap usaha kemanusiaan itu, Norazman berkata tumpuan utama adalah kepada kesedaran rakyat khususnya generasi muda.
“Kita jangan pandang ke belakang kerana sekarang kita lihat sendiri gelombang kebangkitan bukan hanya dalam kalangan generasi Gen X tetapi juga Gen Z. Anak-anak muda ingin tahu apa yang berlaku di Gaza dan itu satu kejayaan besar dalam usaha kita memberikan kesedaran kepada generasi muda,” katanya.
Norazman berkata pengalaman menyertai GSF membuka ruang kepada peserta Malaysia untuk memahami nilai kemanusiaan sejagat khususnya menerusi pertemuan dengan delegasi antarabangsa yang berani berdepan risiko demi membela nasib rakyat Palestin.
Beliau berkata semangat solidariti yang diperjuangkan tidak terbatas kepada umat Islam semata-mata, sebaliknya meliputi seluruh rakyat tanpa mengira agama dan kaum.
Program hari ini yang disertai kira-kira 40 orang termasuk 20 wakil Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menampilkan demonstrasi simbolik menggambarkan kejadian yang berlaku kepada sukarelawan GSF ketika pelayaran mereka.
Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara termasuk Malaysia memulakan pelayaran ke Gaza sekitar akhir Ogos dan awal September lepas sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel ke atas kawasan itu dengan membawa bekalan keperluan untuk penduduk yang terkesan.
Bagaimanapun, flotila bantuan itu dipintas tentera Israel di zon merah perairan Laut Mediterranean pada 2 Oktober dan semua sukarelawan dibawa secara paksa ke Pelabuhan Ashdod.
© New Straits Times Press (M) Bhd




