Permohonan lesen rokok elektronik sebelum 15 Disember

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Putrajaya: Pengilang peranti rokok elektronik dan rokok bukan elektronik tempatan perlu mengemukakan permohonan lesen melalui Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sebelum 15 Disember ini.

Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, ia turut melibatkan cecair atau gel rokok elektronik termasuk cecair atau gel vape tanpa nikotin bagi penguatkuasaan duti eksais pada 1 Januari depan.

Beliau berkata, permohonan boleh dikemukakan kepada JKDM zon atau negeri di mana premis kilang dan gudang berada.

“Pengilang tempatan perlu dilesenkan di bawah Seksyen 20 Akta Eksais 1976 dengan bayaran lesen sebanyak RM4,800 setahun.

“Bayaran lesen gudang di bawah Seksyen 25 Akta Eksais 1976, ia adalah RM2,400 setahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pemegang lesen perlu mematuhi syarat-syarat pelesenan dengan jaminan bank untuk menjamin keselamatan hasil duti.

“Antara dokumen yang perlu dibawa untuk tujuan pelesenan adalah surat permohonan lesen eksais, borang JKDM No. 1 yang lengkap diisi, sijil pendaftaran perniagaan atau syarikat di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau pihak berkuasa tempatan untuk Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, pelan, serta pengakuan mengenai kandungan nikotin dalam cecair/gel rokok elektronik,” katanya.

6 November lalu, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan kerajaan akan mengenakan duti eksais pada kadar 10 peratus ke atas semua jenis peranti rokok elektronik dan bukan elektronik termasuk vape berkuat kuasa 1 Januari 2021.

Katanya, cecair rokok elektronik juga akan dikenakan duti eksais pada kadar 40 sen per milileter.

 

 

ZA137 Malay News

National Desk