Kasut sekolah hitam tidak lagi wajib

Putrajaya: Kewajipan memakai kasut hitam di sekolah rendah dan menengah bermula sesi 2021 dibatalkan.

Perkara itu dicapai dalam Mesyuarat Profesional Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 7 Disember lalu.

Menerusi edaran Surat Pekeliling Iktisas (SPI) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertarikh 7 Disember menyatakan semua murid dibenarkan memilih untuk memakai kasut berwarna hitam atau putih serta stoking mengikut warna kasut.

Surat tersebut yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim turut memaklumkan SPI tersebut berkuat kuasa serta-merta.

“Dengan berkuatkuasanya SPI ini, maka Surat Pekeliling Iktisas kementerian Pelajaran Malaysia Bilangan 10 2018: Pelaksanaan Pemakaian Kasut dan Stoking Berwarna Hitam Oleh Murid Di Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia bertarikh 20 November 2018 adalah terbatal,” jelas pekeliling berkenaan.

Bermula 19 Julai 2018, Menteri Pendidikan ketika itu, Dr Maszlee Malik mengumumkan pelaksanaan kasut hitam di sekolah berperingkat 2019 susulan keluhan daripada ibu bapa yang mengadu mengenai kebersihan kasut putih dipakai anak mereka.

 

ZA137 Malay News

National Desk