Dasar baru negara ubah pengguna kepada pembangun teknologi

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Kuala Lumpur: Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 akan memperhebatkan usaha pembangunan dan aplikasi teknologi tempatan bagi mengubah negara daripada pengguna kepada pembangun teknologi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata, dengan menyasarkan matlamat menjadi sebuah negara berteknologi tinggi usaha itu dapat mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi luar dan buruh asing.

Beliau berkata, penyelidikan pembangunan eksperimental akan diperkasakan dengan meletakkan sasaran 50 peratus daripada peruntukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menyokong usaha itu.

“Kerajaan melalui kementerian ini telah merangka dasar baharu yang akan menangani isu ketidakcekapan inovasi, yang mana konsep Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) diperkenalkan dalam dasar ini.

“Satu pendekatan terangkum antara dua sektor utama negara iaitu ‘STI’ dan ‘Ekonomi’ sebagai satu sektor bagi memastikan semua program dilaksanakan melengkapi antara satu sama lain dan  berimpak tinggi, seterusnya menjadikan STI sebagai pemboleh daya dalam menangani isu dan cabaran negara,” katanya ketika melancarkan DSTIN 2021-2030 dan Rangka Kerja 10-10 Sains, Teknologi, Innovasi dan Ekonomi (MySTIE) disiarkan secara langsung di laman Facebook kementerian hari ini.

Menurut beliau, dasar baharu itu menggariskan enam teras, bersama 20 strategi dan 46 inisiatif mencakupi semua sektor dan ruang kehidupan setiap lapisan masyarakat secara inklusif.

Khairy berkata enam teras tersebut menekankan tadbir urus STI yang responsif, pemerkasaan penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I) serta penggunaan teknologi tempatan oleh industri, pembangunan bakat STI, pembudayaan dan pengaplikasian STIE serta bagi membawa STI ke peringkat global.

“Kita sedar, usaha pertumbuhan ekonomi berasaskan STI memerlukan kerjasama pelbagai pihak, oleh itu dasar ini menekankan kolaborasi strategik antara kerajaan, industri, akademia dan masyarakat terutamanya dalam pembangunan teknologi tempatan melalui R&D&C&I,” katanya.

Justeru, Khairy berkata pendidikan berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) akan diperkasa bagi memastikan bakat yang dilahirkan dapat memenuhi keperluan industri dalam perubahan ekonomi global dan teknologi serba pantas.

 

Sumber: BERNAMA

Malay News

National Desk