“Saya pernah melakukan pembedahan bariatrik pada tahun 2019, sebelum Covid-19 melanda, tapi tak menjadi.”
Demikian penjelasan pelakon Abby Abadi atau nama sebenarnya, Arbaiyah Abdul Manan, 46, mengenai penampilannya yang semakin langsing.
Menafikan keadaan tubuh badan terkini kurus kerana pembedahan bariatrik, pemenang trofi Pelakon TV Wanita Popular Anugerah Bintang Popular BH sebanyak empat kali itu mendedahkan dia pernah melakukan prosedur terbabit sekitar lima tahun lalu namun ia tidak membuahkan hasil.
“Saya salah kefahaman mengenai bariatrik. Saya ingatkan, selepas buat pembedahan, saya akan menjadi betul-betul kurus. Akhirnya saya hilang sebanyak tujuh sehingga lapan kilogram sahaja dan ia terhenti setakat itu kerana saya tak menjaga pemakanan.

“Dalam masa empat ke lima tahun ini, berat saya sama. Selepas sepi dari dunia seni, badan saya ‘gemuk-gemuk manja’, sehinggalah sekarang. Berat badan sekarang yang berkurangan sekarang bukan disebabkan saya potong perut. Saya menjaga pemakanan, bersenam dan saya dibantu oleh produk detoks Berryfull,” kata Abby.
Pelakon yang popular menerusi drama bersiri Gerak Khas ini ditemui di acara Majlis Pelancaran Perisa Baharu Berryfull dan Zumba bersama Abby Abadi anjuran Inayah Beauty di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam pada itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Inayah Beauty, Dini Qistina Latifi, pengeluaran perisa baharu itu membuatkan pihaknya memilih Abby sebagai duta bagi merasai sendiri penggunaan produk terbabit.
“Dengan pelbagai cabaran sepanjang proses pengenalan perisa baharu yang ingin bersaing secara sihat dalam pasaran, saya bersyukur jalinan kerjasama dengan Abby memberi impak yang besar.

“Pada asalnya, saya mendapat satu kiriman video daripada Fasha Sandha. Video itu menunjukkan Abby dan Azza Elite berkongsi pengalaman mereka kepada Fasha yang mereka adalah pengguna setia produk kami.
“Mereka beli sendiri dan memang amalkan. Video berkenaan buatkan saya tertarik kerana tak sangka mereka sudi mencuba produk tempatan kami. Abby sudi menyahut cabaran yang diberikan iaitu wajib kurus dalam masa tiga bulan. Kemudian barulah Abby dilantik sebagai duta,” katanya lagi.




