TAMPIN – Calon Parti Wawasan Negara (Wawasan) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemas, Ridzuan Ahmad memohon maaf kepada pengundi Barisan Nasional (BN) sekiranya tindakan dan pendiriannya sebelum ini pernah mengguris hati mereka.
Ridzuan berkata, permohonan maaf itu dibuat susulan terbentuknya kerjasama baharu antara Perikatan Nasional (PN) dan BN dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Menurutnya, beliau memahami kemungkinan wujud rasa terkilan dalam kalangan ahli dan penyokong BN memandangkan pernah bertanding di bawah tiket PN tanpa kerjasama dengan gabungan tersebut pada pilihan raya lalu.
“Saya sendiri dahulu daripada UMNO, jadi perasaan terasa hati itu memang berlaku. Saya sekali lagi memohon maaf.
“Pada pilihan raya lalu, saya bertanding di bawah PN tetapi ketika itu kami tidak bergabung dengan BN.
“Hari ini saya bersama BN, maka saya memohon maaf kepada pengundi di luar sana,” katanya kepada pemberita selepas Program Ceramah Perdana Pengenalan Calon BN-PN Parlimen Tampin di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Felda Bukit Rokan di sini malam Selasa.
Ridzuan berkata, beliau turut mengakui kemungkinan terdapat kekurangan dan kesilapan yang dilakukan tanpa disedari sehingga mengguris hati pengundi.
“Saya yakin dengan sepenuh hati bahawa sepanjang perjalanan politik ini, mungkin ada kekurangan dan kesalahan saya yang tanpa sedar telah menyakitkan atau menggores hati pengundi.
“Namun, hari ini kita berada dalam satu gabungan dan ikatan yang baharu,” katanya.
Dalam pada itu, Ridzuan yakin ‘gelombang biru’ mampu menawan DUN Gemas serta kawasan Parlimen Tampin menerusi kesepakatan antara PN dan BN.
“Alhamdulillah, hari ini sudah memasuki hari keempat kempen. Saya bersyukur dan yakin gelombang biru akan menawan Gemas serta Tampin,” katanya.
Mengulas mengenai bekas partinya, Ridzuan berkata, beliau tidak mahu mencampuri urusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan memilih untuk memberikan tumpuan kepada kerjasama baharu berkenaan.
“Saya tidak mahu mengulas kerana itu parti lama saya. Dahulu orang bertanya saya mengenai UMNO, hari ini mereka bertanya pula mengenai Bersatu.
“Biarlah Bersatu dengan cara mereka. Saya yakin gabungan BN dan PN akan memberikan impak yang cukup baik bagi mencapai hasrat bersama untuk menumbangkan Pakatan Harapan (PH),” katanya.
Menurut Ridzuan, kerjasama antara kedua-dua gabungan itu sebenarnya sudah bermula lebih awal, namun sebelum ini belum diterjemahkan secara terbuka kerana tiada keputusan muktamad.
“Sebenarnya gerak kerja itu sudah berjalan dan hubungan juga mesra, cuma belum ada kata putus seperti malam ini.
“Sekarang, persefahaman itu diterjemahkan dengan lebih terbuka. PN akan membantu BN dan BN pula akan membantu PN,” katanya.
Ridzuan turut yakin kerjasama tersebut mampu meningkatkan majoriti kemenangan di DUN Gemas berbanding keputusan pilihan raya lalu.
Katanya, keyakinan itu dibuat berdasarkan analisis rapi terhadap sokongan pengundi serta pertambahan undi daripada penyokong BN.
“Majoriti sebelum ini memang besar. Saya sudah membuat analisis yang cukup rapi dan insya-Allah, bukan mahu mendahului kuasa Allah SWT.
“Kalau dahulu menang dengan majoriti kira-kira 3,100 undi, saya yakin kali ini jumlah itu mampu berganda dengan sokongan pengundi BN.
“Perkara sama juga boleh berlaku di dua lagi DUN kerana wujudnya kerjasama ini,” katanya.



