PRN N9: Persefahaman PN-BN dibuat empat hari sebelum penamaan calon – Takiyuddin

PRN N9: Persefahaman PN-BN dibuat empat hari sebelum penamaan calon – Takiyuddin

am@hmetro.com.my

Tampin: PAS mendedahkan persefahaman membabitkan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dibuat empat hari sebelum penamaan calon.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, antara individu yang memuktamadkan persefahaman itu adalah dirinya; Presiden Parti Wawasan Negara (WAWASAN), Datuk Seri Hamzah Zainudin; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan pimpinan UMNO Negeri Sembilan.

Katanya, persefahaman yang dimuktamadkan sempena PRN Negeri Sembilan itu juga adalah satu titik-tolak sejarah penting dalam politik negara.

“Sepatutnya kita sudah lama bekerjasama dan bersatu mempertahankan tanah air kita ini, tapi sedikit tergendala atas sebab tertentu.

“Bagaimanapun, usaha ini sempena PRN di Negeri Sembilan menjadi satu titik-tolak sejarah yang penting.

“Saya, Datuk Seri Hamzah, Setiausaha Agung UMNO (Asyraf Wajdi) dan juga pimpinan UMNO Negeri Sembilan, memuktamadkan persepakatan dan muafakat ini empat hari sebelum penamaan calon.

“Inilah kita PN dan BN, satu barisan yang tidak boleh dipisahkan lagi selama-lamanya, insya-Allah,” katanya berucap pada ceramah Gelombang Biru di FELDA Bukit Rokan, malam tadi.

Hadir sama, Hamzah dan Ahli Parlimen Tampin merangkap Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, tindakan pimpinan BN dan PN itu dibuat untuk mempertaut kembali kedudukan dan persaudaraan kedua-dua gabungan parti.

“Kita pernah cuba mempertaut persaudaraan antara UMNO dan PAS.

“Pada 14 September 2019 selepas kerajaan BN tumbang, PAS dan UMNO melancarkan Muafakat Nasional.

“Sebahagian daripada ahli PAS kali pertama menjejakkan kaki ke Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (nama ketika itu), ibu pejabat UMNO.

“Bercucuran air mata, sedih kita kenapa baru pada masa itu kita bertaut. Sepatutnya kita sudah lama bekerjasama dan bersatu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top